DALEY (kiri) dan Lee tidak dapat menahan sebak selepas berjaya meraih emas acara terjun 10m platform seirama. FOTO AFP
DALEY (kiri) dan Lee tidak dapat menahan sebak selepas berjaya meraih emas acara terjun 10m platform seirama. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Penerjun Britain, Tom Daley memberi penghormatan kepada mendiang bapanya selepas dia bersama Matty Lee berjaya mengetepikan gandingan pilihan dari China untuk meraih emas 10 meter (m) platform seirama lelaki di Olimpik Tokyo.

Daley, 27, yang mendedahkan dia mungkin akan terlepas temasya berkenaan akibat pembedahan lutut, mengelap air mata di atas podium selepas akhirnya berjaya meraih emas memadam kekecewaan di London 2012 dan Rio 2016 apabila sekadar memenangi gangsa.

Wakil China, Chen Aisen-Cao Yuan, kedua-duanya sudah pun dua kali meraih emas Olimpik dan berada di kedudukan teratas sehingga terjunan keempat mereka kurang memberangsangkan.

Penerjun Britain berjaya mengatasi kegugupan pada terjunan terakhir untuk memungut mata keseluruhan 471.81 mata, manakala gandingan China meraih 470.58 mata dan tempat ketiga diraih wakil Russia, Aleksandr Bondar-Viktor Minibaev.

"Beliau (mendiang bapa) tidak melihat saya memenangi emas Olimpik, berkahwin, mempunyai anak, mengajar saya memandu.

"Perjalanan saya bermula di Plymouth, pada 2001, bapa saya membawa saya untuk setiap sesi latihan, pertandingan, beliau sentiasa bersama saya," katanya yang mengimbau kembali kenangan bersama bapanya, Rob yang meninggal dunia akibat kanser pada 2011 pada usia 40 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 6:45 PM