Bonnie (dua kanan) menerima sumbangan daripada Abang Aditajaya.
Bonnie (dua kanan) menerima sumbangan daripada Abang Aditajaya.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Semangat atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin semakin membara dalam melakukan persiapan Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Ogos depan selepas menerima ganjaran RM10,000 di atas kejayaannya meraih emas pada Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia di Bangkok, Thailand, awal bulan ini.

Ganjaran itu adalah sumbangan peribadi daripada Pengerusi Persatuan Sukan dan Rekreasi Tanjong Manis, Datuk Seri Abang Aditajaya Abang Alwi bagi menghargai pengorbanan atlet kelahiran Sarawak berusia 21 tahun itu yang bekerja keras mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, segala pengorbanan, komitmen, sumbangan serta kerja keras Bonnie kepada Malaysia dan Sarawak adalah sesuatu yang tinggi nilainya dan tidak terbalas.

"Walaupun sebagai atlet orang kurang upaya (OKU) dia banyak memberi sumbangan kepada negara dan negeri dengan semangat juang tinggi yang sering ditunjukkannya.

"Saya berharap dia berusaha bersungguh-sungguh agar impian untuk mendapat pingat emas di Sukan Paralimpik Ogos nanti tercapai. Saya doakan juga dia mendapat keputusan yang baik di Dubai apabila menyertai Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para bulan depan," kata Abang Aditajaya.

Beliau turut memberikan sumbangan saguhati sebanyak RM2,000 kepada jurulatih Bonnie, Jamil Adam dan RM500 kepada penolongnya, Azwan Ali Baderam.

Sementara itu, Bonnie, berkata ganjaran itu meningkatkan lagi motivasinya terutama dalam tempoh yang mencabar ini dalam persiapan menghadapi Sukan Paralimpik.

"Saya berterima kasih kepada Datuk Seri (Abang Aditajaya) di atas sumbangan ini. Ini pastinya meningkatkan lagi motivasi saya. Persiapan semua berjalan dengan lancar dan saya akan buat yang terbaik nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 6:41 PM