MENTERI Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (dua kanan) menyampaikan Anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan kepada Bonnie Bunyau Rinong pada majlis Anugerah Sukan Negara 2021 di MSN Bukit Jalil, baru-baru ini. FOTO Asyraf Hamzah
MENTERI Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (dua kanan) menyampaikan Anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan kepada Bonnie Bunyau Rinong pada majlis Anugerah Sukan Negara 2021 di MSN Bukit Jalil, baru-baru ini. FOTO Asyraf Hamzah
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Olahragawan Paralimpik Kebangsaan 2021, Bonnie Bunyau Gustin mahu menjadikan gelaran yang diraihnya itu sebagai pembakar semangat untuk terus mengharumkan nama negara di mata dunia.

Atlet berusia 23 tahun itu berkata, ketika ini dia sedang giat melakukan persiapan untuk mengekalkan status sebagai atlet nombor satu dunia dalam sukan itu apabila menyertai Kejohanan Dunia Powerlifting di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang membuka tirai Ogos nanti.

Tegas Bonnie, dia berharap mampu melakukan terbaik pada semua kejohanan yang disertainya sebelum memulakan misi 'Gold Paris' pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas anugerah ini. Saya nak dedikasikan gelaran ini kepada keluarga dan rakan seperjuangan saya.

"Saya sangat terharu dan terima kasih kepada mak dan ayah saya yang memberi sokongan dari bawah hingga berada pada tahap seperti ini.

"Saya harap dengan gelaran ini saya terus bersemangat dan kekalkan prestasi sehingga Paralimpik Paris 2024 nanti. Fokus saya juga ingin kekal ranking nombor satu dunia," kata Bonnie.

Untuk rekod, jaguh powerlifting negara itu sebelum ini berjaya mengharumkan nama Malaysia di puncak dunia apabila menghadiahkan pingat emas sulung negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Lebih manis, Bonnie yang bersaing dalam kelas 72 kilogram (kg) di Paralimpik Tokyo, merangkul emas dengan angkatan terbaiknya 228kg sekali gus memecahkan rekod temasya yang sebelum ini dipegang atlet Iraq, Rasool Mohsin 227kg yang dilakukan ketika di Rio de Janeiro.

Kejohanan Para Powerlifting Dunia 2023 yang dijangka berlangsung pada Ogos ini turut menawarkan slot ke Olimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 4:06 PM