ONN Hafiz (kanan) bersama Ahmad Shapawi (dua dari kiri) mengimbas kod QR pada Program Flag-Off siri Jelajah Sokong Kontinjen Road To Tokyo 2020 di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, Kota Iskandar. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ONN Hafiz (kanan) bersama Ahmad Shapawi (dua dari kiri) mengimbas kod QR pada Program Flag-Off siri Jelajah Sokong Kontinjen Road To Tokyo 2020 di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, Kota Iskandar. FOTO Nur Aisyah Mazalan
BERNAMA

Iskandar Puteri: Seramai 33 atlet kebangsaan dan 35 atlet paralimpik dijangka dapat melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 masing-masing dijadualkan berlangsung pada Julai dan Ogos ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata buat masa ini, seramai 12 atlet kebangsaan dan 14 atlet paralimpik sudah melepasi kelayakan bagi menyertai temasya sukan terbesar dunia itu.

"Masih banyak lagi (atlet) dalam proses kelayakan termasuk Terbuka Badminton Malaysia dan Terjun Piala Dunia 2021 pada Mei ini.

"Jadi jangkaan kita untuk Olimpik lebih kurang 33 atlet sebab banyak kejohanan kelayakan dibatalkan manakala bagi paralimpik pula, ia mungkin melibatkan seramai 35 atlet, tertakluk sehingga tempoh kelayakan pada Jun," katanya ketika diminta mengulas mengenai kelayakan atlet bagi temasya sukan berkenaan.

Ahmad Shapawi ditemui selepas menghadiri program Pelepasan Jelajah Sokongan Road To Tokyo 2020 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi di Bangunan Dato Jaafar Muhamad di sini, hari ini.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata atlet Johor yang berjaya melayakkan diri ke temasya itu bakal menerima insentif sebanyak RM5,000 daripada kerajaan negeri.

Ketika ini, mereka yang layak ialah atlet berbasikal, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, atlet boccia Chew Wei Lun dan atlet pelayaran Nuraisyah Jamil.

Beliau berkata bagi atlet yang berjaya mendapat pingat emas pula, mereka bakal menerima insentif tambahan sebanyak RM15,000.

"Bagi pingat perak pula sebanyak RM10,000 dan gangsa sebanyak RM8,000. Kalau ada rezeki lebih, kita akan cadangkan kerajaan negeri beri ganjaran tambahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 10:35 PM