MEGAT Zulkarnain (kiri)  bersama Md Sohaimi selepas  sidang media. FOTO Mohd Yusni Ariffin.
MEGAT Zulkarnain (kiri) bersama Md Sohaimi selepas sidang media. FOTO Mohd Yusni Ariffin.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Seperti dijangka, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) mengumumkan Datuk Megat Zulkarnain Omardin sebagai presiden baharu badan induk itu hari ini.

Beliau yang sebelum ini memegang jawatan Setiausaha Agung Pesaka dipilih sebulat suara oleh 20 ahli gabungan bagi menduduki kerusi nombor satu dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang berlangsung di salah sebuah hotel di ibu negara.

Sementara itu, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah kekal sebagai Timbalan Presiden, manakala tiga slot Naib Presiden dimenangi Datuk Mohd Arpan Shari, Mohd Ariff Mat Hanafiah dan Datuk Adiwijaya Abdullah.

"Selepas ini banyak tanggung jawab saya. Banyak perkara perlu dibincangkan untuk memacu Pesaka agar lebih berjaya. Bagi saya, tugas sebagai Presiden Pesaka adalah besar.

''Tahun ini ada kejohanan Silat Dunia (di Sarawak) tiga hari selepas tamatnya Sukan Sea" Bukan mudah nak uruskan skuad silat ke Sukan Sea dengan sasaran besar, kemudian balik dari Hanoi terus ke Kejohanan Dunia," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Antara misi lain yang belum selesai dan akan diberi perhatian oleh Megat Zulkarnain adalah pembinaan Kompleks Silat Negara yang masih tertangguh.

"Perkara ini akan diuruskan secepat mungkin kerana kompleks ini terlalu dekat di hati dan kita akan duduk bincang laksanakan perkara ini dengan segera. Satu lagi untuk memastikan silat dijadikan sukan demontrasi di Olimpik 2028 dengan mengadakan perbincangan bersama persatuan di peringkat antarabangsa," katanya.

Sebagai rekod, Megat Zulkarnain yang memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Pesaka sejak berusia 30-an adalah anak Pendekar Negara yang juga Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Allahyarham Tan Sri Omardin Mauju.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 10:38 PM