MEGAT (tengah) bersama Md Nor Azam  (kiri) dan Setiausaha Agung MPM, Datuk Laksamana Pertama (B), R Subramaniam (kanan). FOTO Bernama
MEGAT (tengah) bersama Md Nor Azam (kiri) dan Setiausaha Agung MPM, Datuk Laksamana Pertama (B), R Subramaniam (kanan). FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kesemua atlet dan pegawai yang akan menyertai Sukan Paralimpik Tokyo akan menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 bermula 13 April ini.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Institut Sukan Negara (ISN) kepadanya.

"Saya dimaklumkan suntikan pertama itu akan dilakukan sama ada di ISN atau di pusat kesihatan di Cheras. Ia dos pertama untuk atlet dan pegawai yang akan pergi ke Sukan Paralimpik.

"Jumlah mereka terbabit pada peringkat pertama itu saya tidak pasti tetapi ia akan dimaklumkan oleh Kementerian Belia dan Sukan nanti. Selepas peringkat pertama itu, atlet akan menerima suntikan seterusnya sehinggalah menjelang ke temasya Paralimpik," katanya ketika ditemui pada majlis perjanjian persefahaman antara MPM dengan Hospital Rehab ReGen, hari ini.

Menerusi perjanjian itu, kedua-dua pihak akan menjalinkan kerjasama selama tiga tahun untuk membolehkan atlet paralimpik menggunakan perkhidmatan di hospital berkenaan.

Sementara itu, Megat turut mengumumkan pelantikan Kolonel (B) Md Nor Azam Ariffin selaku ketua kontinjen negara ke temasya Sukan Para Asean di Hanoi, Vietnam bermula 17 sehingga 23 Disember depan.

Md Nor Azam mempunyai pengalaman luas dan pernah menggalas beberapa jawatan penting termasuk menjadi pengarah kejohanan acara para badminton ketika kali terakhir Vietnam menganjurkan temasya sukan dwitahunan itu pada 2003.

"Ia satu cabaran besar kerana dalam keadaan dunia sedang menghadapi pandemik Covid-19 ini, pelbagai perkara perlu dilalui termasuk memastikan atlet serta pegawai pergi dan pulang dengan selamat.

"Sebagai ketua kontinjen juga saya perlu mencapai sasaran yang ditetapkan. Sebanyak 11 dipertandingkan berbanding 16 sukan ketika kali terakhir ia dianjurkan di Kuala Lumpur pada 2017.

''Daripada 11 sukan itu belum diumumkan acara yang dipertandingkan. Namun saya menjangkakan kira-kira 300 acara dipertandingkan dan sudah tentu olahraga serta renang mempunyai acara paling banyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 3:03 PM