HARRIF bukti keupayaan pelumba negara takluk Eropah. FOTO Ihsan Facebook TSG
HARRIF bukti keupayaan pelumba negara takluk Eropah. FOTO Ihsan Facebook TSG
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Semangat, keberanian dan persediaan rapi kunci utama pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh mampu menakluk bumi Turki ketika muncul juara di Grand Prix (GP) Manavgat hujung minggu lalu.

Menurut bekas pelumba lebuh raya negara, Musairi Musa, pencapaian Harrif bersama pasukan TSG adalah sangat terbaik tatkala perlumbaan itu turut disertai Andrea Guardini atau terkenal dengan gelaran Mr Langkawi.

"Perlumbaan di Eropah dan bersaing dengan pelumba Eropah, apa yang boleh kita katakan lagi selain menganggapnya sangat terbaik. Kalau kita lihat pasukan TSG dan Harrif memang menyerlah serta persiapan mereka sangat mencukupi," katanya.

Musairi yang pernah beraksi di Le Tour de Langkawi (LTdL) dan Sukan Komanwel 1998 Kuala Lumpur berkata, semangat dan keberanian Harrif memang tidak boleh disangkalkan lagi terutama ketika pecutan terakhir menuju ke garisan penamat.

"Kerja sepasukan TSG ketika menuju ke garisan penamat cuba sangat terbaik dan nampak mereka memang betul-betul melakukan persediaan. Hasil persiapan mereka sangat berkesan dan saya juga sempat berbual dan menonton beberapa kali dengan Harrif ketika dia melakukan 'live' di Instagram," katanya.

Ditanya mengenai umur Harrif yang sudah menjangkau 33 tahun, Musairi berkata, pelumba berkenaan masih lagi mempunyai kudrat untuk terus cemerlang.

"Boleh lagi, disiplin dia memang sangat bagus. Dia juga menjaga dari semua aspek. Saya rasa dia boleh lagi bertahan.

"Harrif juga sangat bertuah kerana dalam TSG mempunyai dua pelumba import berpengalaman, Carlos Quintero dan Youcef Reguigui. Kebiasaan, abangnya, Zamri akan 'menarik' Harrif untuk ke depan namun tanpa Zamri dua pelumba import sangat membantunya untuk menuju ke garisan penamat serta berada di kedudukan terbaik," katanya.

Musairi juga mengakui bahawa Harrif mampu untuk mencatatkan keputusan lebih baik menjelang dua lagi perlumbaan di Eropah kerana pakar pecut itu tidak lagi gayat dan sudah membiasakan diri bersaing dengan pelumba dari benua berkenaan.

Quintero juga menyerlah pada perlumbaan GP Alanya apabila muncul juara tatkala seorang lagi pelumba import, Metkel Eyob menduduki tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 2:14 PM