Harrif Saleh muncul juara GP Manavgat bulan lalu.
Harrif Saleh muncul juara GP Manavgat bulan lalu.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ketika pelumba tempatan Terengganu Cycling Team (TSG) lain sudah meninggalkan bumi Turki, jaguh berbasikal lebuh raya negara, Harrif Saleh masih mempunyai misi yang perlu dilaksanakan iaitu memburu juara peringkat Tour Mevlana.

Perlumbaan jelajah selama empat hari berstatus 2.2 itu dijadualkan berlangsung pada 1 hingga 4 April ini dan Harrif yang terkenal dengan nama timangan 'Mamat' sedang bertungkus-lumus mempersiapkan diri bersama tonggak import TSG.

Menurutnya, walaupun saingan berkenaan diputuskan pada saat akhir, ia tidak boleh dijadikan alasan untuknya sekadar memberikan persembahan ala kadar selepas berjaya muncul juara Grand Prix Manavgat bulan lalu.

"Perancangan ini dilakukan pada saat akhir selepas Jelajah Thailand ditunda, sekarang hanya tinggal saya seorang saja pelumba tempatan TSG di Turki tapi bagi saya tidak mengapa kerana sekurang-kurangnya saya ada perlumbaan untuk disertai," kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

Jelas Harrif, ini adalah peluang untuknya terus mempersiapkan diri supaya berada pada prestasi terbaik sehingga hujung musim sekali gus mencatat keputusan cemerlang di Sukan Sea Vietnam 2021.

"Jadi bila ada lagi perlumbaan saya berasa bersemangat sikit untuk berlatih. Saya pun mendapat berita bahawa laluan di Sukan Sea nanti landai jadi ini peluang terbaik buat pelumba pecut.

"Menjelang perlumbaan Tour Mevlana mungkin ada perubahan sikit sebab kehadiran import baharu (Jeroen Meijers). Dia berkemungkinan menggantikan Artem (Ovechkin)," katanya.

Selain Harrif dan Meijers, TSG dijangka mempertaruhkan empat lagi tenaga import, Youcef Reguigui, Carlos Quintero, Metkel Eyob dan Goh Choon Huat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 9:34 PM