KHAIRUL Anuar akui pertandingan simulasi cukup membantu kerana boleh mengukur sejauh mana kemampuannya. FOTO NSTP
KHAIRUL Anuar akui pertandingan simulasi cukup membantu kerana boleh mengukur sejauh mana kemampuannya. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Walaupun beraksi cemerlang ketika kejohanan simulasi di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara Bukit Jalil semalam, atlet memanah negara, Khairul Anuar Mohamad jelas sekali tidak berpuas hati dengan persembahannya selepas lapan bulan tempoh berehat.

Khairul yang mengalahkan rakan sepasukannya Haziq Kamaruddin dalam acara individu berkata, masih banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memantapkan lagi persembahannya.

Menurutnya, dia kurang berpuas hati dengan teknik panahannya menyebabkan tewas kepada pesaing dari Korea Selatan dalam acara simulasi terakhir.

"Saya kurang berpuas hati dengan persembahan terutama membabitkan panahan yang agak kurang walaupun dapat menewaskan Haziq namun kurang menyerlah ketika bertemu pemanah Korea Selatan, Lee Woo Seok.

"Selain itu, lapan bulan tiada latihan intensif, jadinya pertandingan simulasi ini cukup membantu kerana boleh mengukur sejauh mana kemampuan setakat ini," katanya, di sini.

Selain itu, Haziq pula berkata, dia perlu lebih mengawal diri ketika berada di medan 'pertandingan' terutama ketika bertemu rakan sepasukan.

"Bertemu rakan sepasukan perasaan jadi lain sekali gus kurang fokus namun ketika ini kita boleh menilai persembahan selepas dalam tempoh lama tidak menyertai pertandingan kompetatif," katanya.

Kejohanan simulasi itu adalah Kejohanan yang dianjurkan oleh Bahagian Atlet MSN Bukit Jalil dengan kerjasama Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia dapat mengembalikan semula semangat atlet negara yang masih lagi dalam proses mendapatkan semula rasa pertandingan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 10:33 PM