AKSI antara MSP-PHP-SSNP dan Kuala Lumpur City di Stadium Wisma Belia. FOTO MOHD RAFI MAMAT
AKSI antara MSP-PHP-SSNP dan Kuala Lumpur City di Stadium Wisma Belia. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pasukan MSP-PHP-SSNP terus dilanda kecewa apabila tewas 2-3 pada Kuala Lumpur City saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 di Stadium Wisma Belia, sebentar tadi.

Bermula garang pada babak pertama sedikit tidak dapat menggugat kehebatan lawan yang tampil garang berada di hadapan dengan dua gol tanpa balas.

Jurulatihnya, Mohamad Sabri Mohamad berkata, impian untuk melihat perlawanan terakhir di gelanggang sendiri berakhir dengan kemenangan tidak menjadi kenyataan.

Menurutnya, kekalahan hari ini menjadikan kekalahan keenam berturut-turut pasukan MSP-PHP-SSNP pada saingan MHL kali ini.

Harapan untuk melihat pemain bangkit mencatat kejayaan tidak menjadi kenyataan.

Katanya, pemain telah memberi tentangan sepanjang perlawanan, namun peluang yang terhidang tidak dapat diterjemahkan dengan sempurna.

"Cetek pengalaman menjadi pemisah antara pasukan MSP-PHP-SSNP dengan Kuala Lumpur City, semangat tinggi pemain gagal menyekat kehebatan lawan.

"Saya tidak menyalahkan berikutan tewas kali keenam berturut-turut hari ini, mereka telah memberi persembahan yang menarik dan bersemangat namun nasib tidak berpihak pada kita," katanya, di sini.

Mohamad Sabri berkata, selepas tewas 2-6 pada perlawanan kelima dengan Qnet Phoenix, semangat tinggi pemain dapat dilihat sepanjang sesi latihan, namun kesungguhan mereka hari ini tidak dapat menyekat lawan.

"Selepas ini kita berhadapan CS Mustang HT pada perlawanan ketujuh di gelanggang lawan, kita memerlukan kemenangan pada perlawanan seterusnya untuk berada pada kedudukan lebih baik musim ini.

"Pendedahan barisan pemain remaja yang akan mewakili Pahang di pentas Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Sarawak diharap berhasil dalam memastikan pingat emas berjaya diraih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 6:51 PM