PEMAIN hoki wanita negara meraikan jaringan ketika menewaskan Thailand 2-0, hari ini. FOTO ihsan AHF/HOCKEY INDIA
PEMAIN hoki wanita negara meraikan jaringan ketika menewaskan Thailand 2-0, hari ini. FOTO ihsan AHF/HOCKEY INDIA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Selepas berdepan rentetan tiga kekalahan, skuad hoki wanita negara akhirnya meraih kemenangan pertama di Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia Wanita 2023 di Ranchi, India apabila menewaskan Thailand 2-0, sebentar tadi.

Turun pada perlawanan terakhir dalam saingan liga sepusingan itu, gol pasukan negara dihasilkan Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha pada minit ke-25 sebelum Nur Nabila Alia Yussaini meledak jaringan padang minit ke-52.

Kemenangan itu nyata melegakan pengendali skuad hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim yang menyaksikan peningkatan dipamerkan pemain.

"Selepas tiga kekalahan bermula di tangan China, India dan Jepun selain satu seri dengan Korea Selatan, akhirnya kita menemui kemenangan.

"Alhamdulillah. Ini adalah hasil daripada usaha keras pemain yang mempamerkan persembahan lebih baik dan berdisiplin di bahagian pertahanan.

"Apapun, kami akan lihat semula rakaman video untuk memperkemaskan lagi permainan sebelum turun pada perlawanan terakhir nanti," katanya.

Malaysia akan bertemu Thailand sekali lagi pada petang Sabtu ini bagi penentuan kedudukan kelima dan keenam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 10:25 PM