RAZIE (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO MHC
RAZIE (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO MHC
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Skuad hoki negara perlu wajib menumpaskan Jepun Selasa ini seandainya mahu melayakkan diri ke final Super 4 Piala Asia 2022 apabila mencatat keputusan seri 3-3 menentang India di Jakarta sebentar tadi.

Hatrik pakar pukulan sudut penalti, Razie Abd Rahim masih belum cukup untuk membantu skuad hoki lelaki negara mencatat kemenangan dalam perlawanan kedua peringkat berkenaan.

Keputusan itu menyaksikan pasukan bimbingan A Arul Selvaraj setakat ini hanya mengumpul dua mata selepas turut seri 2-2 dengan Korea Selatan, semalam.

Dua keputusan seri itu menyukarkan peluang Malaysia menempatkan diri dalam kelompok dua teratas yang menawarkan slot ke final yang akan berlangsung Rabu depan.

Selain wajib menumbangkan Jepun Selasa ini, Malaysian Tigers juga harus menunggu keputusan perlawanan di antara India dan Korea Selatan.

Dalam aksi yang penuh sengit di Stadium Hoki Gelora Bung Karno itu, Razie meletakkan skuad negara mendahului 2-0 apabila dia menyempurnakan pukulan sudut penalti yang diperoleh pada minit ke-12 dan 21.

Bagaimanapun, India bangkit menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan Vishnukant Singh minit ke-32 dan gol padang yang dijaringkan Sowmarpet Vitalacharya Sunil minit ke-53.

Giliran India mendahului dalam perlawanan itu apabila Nilam Sanjeep Xess meledak gol ketiga pasukan berkenaan menerusi pukulan sudut penalti minit ke-55.

Namun, jaringan pendahuluan itu tidak bertahan lama apabila Razie melengkapkan hatriknya dengan menyudahkan pukulan sudut penalti seminit kemudian sekali gus membolehkan Malaysia menyamakan kedudukan dan kedudukan 3-3 kekal hingga tamat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 9:40 PM