ALTER Ego bangkit dari kedudukan ke-13 menewaskan pasukan dari Thailand, Face Clan. FOTO Ihsan PUBG Mobile Malaysia
ALTER Ego bangkit dari kedudukan ke-13 menewaskan pasukan dari Thailand, Face Clan. FOTO Ihsan PUBG Mobile Malaysia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pasukan Alter Ego dari Indonesia dinobatkan sebagai juara Grand Final PMSL SEA Fall 2023 selepas mempamerkan kebangkitan mengagumkan di pentas final.

Kejohanan yang berlangsung di Sunway Velocity turut membabitkan penyertaan dari pasukan dari negara Asia Tenggara yang lain seperti Myanmar, Indonesia dan pasukan tempatan yang mana 16 pasukan terbaik bersaing untuk membawa pulang trofi.

Alter Ego bangkit dari kedudukan ke-13 menewaskan pasukan dari Thailand, Face Clan yang sebelum ini mendahului peringkat awal untuk menang dengan hanya kelebihan empat mata.

Manakala wakil Malaysia SEM9, Yoodo Alliance dan Geek Fam turut memberi tentangan sengit sebelum menamatkan saingan masing-masing di tempat keenam, kesembilan dan ke-14.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, biarpun gagal muncul juara Grand Final, beliau tetap berbangga pencapaian pasukan negara yang berjaya mara hingga ke pusingan akhir dalam Liga Super PUBG Mobile.

"Saya berbangga dengan pasukan Malaysia yang berjaya mara ke pusingan terakhir Liga Super PUBG Mobile. Ini adalah bukti perkembangan industri E-sukan di Malaysia.

"Saya berharap pencapaian ini akan mendorong lebih ramai lagi anak muda untuk mengejar impian mereka dalam bidang E-sukan."

"Grand Final PUBG Mobile ini ialah acara utama untuk komuniti E-sukan di Asia Tenggara," katanya.

Hannah turut mengharapkan sektor E-Sukan di Malaysia dapat terus berkembang dan mencipta peluang untuk pekerjaan untuk golongan muda pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 3:37 PM