SOUTHGATE kelihatan sugul selepas England tewas di tangan Sepanyol di final Euro 2024, Ahad lalu. FOTO REUTERS
SOUTHGATE kelihatan sugul selepas England tewas di tangan Sepanyol di final Euro 2024, Ahad lalu. FOTO REUTERS
Reuters

London: Pencarian calon pengurus England berikutnya bermula sejak semalam dengan beberapa nama disebut selain pelbagai spekulasi mengenai pengganti Gareth Southgate, sebagai lelaki bakal menduduki kerusi paling panas dalam bola sepak dunia.

Southgate yang mengemudi pasukan sejak 2016 meletak jawatan kurang 48 jam selepas England tewas kali kedua berturut-turut di final Kejohanan Eropah (Euro), kali ini 1-2 kepada Sepanyol di Berlin, Ahad lalu.

Berita itu tidak mengejutkan dan pantas menjadi tumpuan mengenai masa depan England sama ada mencari pengganti dalam kalangan anak tempatan atau pengendali dari luar negara.

"Proses melantik pengganti Gareth kini berjalan dan kami mahu mengesahkan pengurus baharu secepat mungkin," kata Ketua Eksekutif Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris, Mark Bullingham dalam satu kenyataan.

"Kempen kami dalam Liga Negara-Negara UEFA akan bermula pada September dan kami mungkin melantik pengendali sementara jika keadaan memerlukan.

"Kami sedar pelbagai spekulasi akan diperkatakan, tetapi kami tidak akan mengulas lanjut sehingga proses lantikan selesai."

Pengurus berikutnya akan memikul tanggungjawab berat dengan harapan tinggi dengan sejarah betapa England memburu trofi utama pertama sejak memenangi Piala Dunia 1966 di tanah air sendiri.

Pengalaman di Liga Perdana Inggeris (EPL) mungkin diperlukan selain kemahiran pengurusan untuk membangunkan dan mengekalkan semangat sepasukan serta budaya di samping ketahanan terhadap kritikan hebat.

Jika FA mahu melantik seorang lagi pengurus Inggeris, nama pengurus Newcastle United, Eddie Howe; bekas bos Chelsea, Graham Potter dan pengurus skuad Bawah 21 Tahun (B-21) England, Lee Carsley berada dalam senarai utama.

Bagaimanapun, Ketua Eksekutif Newcastle, Darren Eales menjelaskan, pihaknya menjangkakan Howe akan kekal bersama mereka dan akan berjuang untuk tujuan itu.

"Bagi kami, dia adalah lelaki tepat untuk projek kami di Newcastle United dan sebab itulah kami komited dengan pelan jangka panjang bersamanya," katanya kepada media Britain.

Sebelum ini, Southgate adalah pengendali skuad B-21 dan bertugas sebagai pengendali sementara England, sebelum diberi kepercayaan dan berdasarkan aspek itu, Carsley mungkin ada kelebihan.

Potter turut boleh dipertimbangkan kerana kini tidak mengemudi mana-mana kelab sejak dipecat oleh Chelsea, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 8:46 AM