ANTHONY bekas pemain Al-Faha. FOTO A2zfootball Hub
ANTHONY bekas pemain Al-Faha. FOTO A2zfootball Hub
Asrol Awang


Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) tidak menolak kemungkinan pemain berasal dari Nigeria, Anthony Nwakaeme bakal menyertai Sri Pahang bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Menurut sumber, tidak mustahil untuk menyaksikan Anthony yang juga adik Dickson Nwakaeme yang pernah membantu menyarung jersi Tok Gajah pada 2014-2015 dan 2019-2020 membantu skuad itu.

"Setakat ini, perancangan untuk menambah seorang lagi pemain import memang tiada tetapi tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan selepas mengikat enam import pada musim baharu ini.

"Segalanya bakal diketahui hasil daripada perbincangan pengurusan tertinggi kelab sama ada mahukan khidmat Anthony atau mengekalkan enam import sedia ada," menurut sumber itu.

Baru-baru ini, Nwakaeme menerusi hantaran di media sosial dikatakan memaklumkan Anthony yang juga adiknya akan dibawa ke Pahang.

Difahamkan, Anthony yang beraksi bersama Al-Faha FC dari Liga Profesional Arab Saudi mampu memperkasakan jentera serangan jika menyertai Sri Pahang.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang mengesahkan enam pemain import dipertaruhkan bagi menghadapi saingan Liga M musim 2024/2025.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 10:04 PM