SELVAN (kanan) berazam memberi sumbangan lebih efektif musim ini. -FOTO Ihsan NSFC.
SELVAN (kanan) berazam memberi sumbangan lebih efektif musim ini. -FOTO Ihsan NSFC.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Penyerang muda Negeri Sembilan FC (NSFC), A Selvan sedia membentuk persefahaman mantap bersama Takumi Sasaki dan Hadin Azman dalam misi menjulang nama pasukan itu pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim 2024-2025.

Pemain berusia 23 tahun itu yang meledak satu gol musim lalu mengalu-alukan kehadiran Sasaki dan Hadin dalam pasukan itu dan ia suatu peluang terbaik untuknya menyerlahkan gandingan yang baik buat skuad Hobin Jang Hobin.

Dia berazam untuk mempamerkan prestasi yang lebih baik pada musim ini dalam memastikan Negeri Sembilan tampil lebih berwibawa menghadapi cabaran Liga M.

"Saya dapat merasakan kehadiran Sasaki dan Hadin bakal memberi impak yang positif kepada kekuatan pasukan khususnya di bahagian serangan.

"Malah, kehadiran pemain berprestasi tinggi ini juga memberi peluang kepada saya untuk belajar dan berkongsi kepakaran daripada mereka dalam usaha untuk membina karektor sendiri.

"Saya sedar perlu pamerkan persembahan lebih baik musim ini untuk membawa Negeri Sembilan lebih berjaya sama ada dalam Liga Super, Piala FA mahupun Piala Malaysia," katanya di sini, hari ini.

Selvan berkata, dia perlu cepat membina kekuatan baharu di bahagian serangan dengan kehadiran pemain baharu kerana tempoh tirai saingan Liga Super tidak sampai sebulan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 12:56 PM