DIER (kanan) sebelum ini berpindah secara pinjaman ke Bayern. FOTO Reuters
DIER (kanan) sebelum ini berpindah secara pinjaman ke Bayern. FOTO Reuters
Reuters

Munich: Perpindahan Eric Dier dari Tottenham Hotspur ke Bayern Munich dibuat secara tetap selepas dia melengkapkan jumlah penampilan yang diperlukan yang termaktub dalam kontraknya, kata kelab Bundesliga Jerman itu.

Pertahanan tengah England berusia 30 tahun itu menyertai Bayern secara pinjaman pada Januari dalam perjanjian hingga akhir musim selepas menghabiskan sedekad bersama Spurs, sekali gus bergabung semula dengan bekas rakan sepasukan Harry Kane.

Bayern berkata kontrak Dier dilanjutkan sehingga Jun 2025 dengan Max Eberl, ahli lembaga Bayern, berkata pemain antarabangsa England berusia 30 tahun itu memberikan 'sokongan berharga' dalam bahagian pertahanan.

Dier bermain tujuh kali untuk Bayern di Bundesliga, termasuk lima kali dalam kesebelasan utama.

"Saya gembira di Munich. Kini masa depan saya sudah diatur dan saya boleh fokus untuk bermain dengan baik untuk kelab dan cuba membantu kelab memenangi perlawanan, memenangi pertandingan, walaupun ia adalah tempoh yang sukar bagi kami," kata Dier.

Selepas memenangi Bundesliga 11 tahun berturut-turut, Bayern berada di tangga kedua dalam kedudukan musim ini, tujuh mata di belakang Bayer Leverkusen yang tidak tewas yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

Bayern menerima kunjungan Lazio minggu depan untuk pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara dengan pasukan Jerman itu ketinggalan 1-0 pada perlawanan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 7:25 PM