PEMAIN Selangor FC menjalani latihan menjelang pertemuan dengan KL City FC. FOTO MOHD RAFI MAMAT
PEMAIN Selangor FC menjalani latihan menjelang pertemuan dengan KL City FC. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pasukan Selangor FC akan memastikan episod kekalahan yang diterima pada dua perlawanan sebelum ini tidak berlaku pada pertemuan dengan KL City FC saingan Divisyen 1 Liga Futsal Perdana Kebangsaan Malaysia (MPFL)di Kompleks Sukan Negara (KSN) Panasonic, Shah Alam, Sabtu ini.

Jurulatih Selangor FC, Edgar Eder Baldasso berkata, perlawanan ketiga Selangor FC Sabtu ini dianggap penting dalam memastikan kedudukan dalam liga tidak terus terjejas dengan perbezaan mata yang terlalu jauh.

Menurutnya, pasukan merah kuning perlu kembali konsisten terutama selepas dua kali tewas, keputusan yang tidak dijangka itu begitu sukar untuk diterima.

"Tiga mata begitu penting untuk diraih bagi mengembalikan motivasi pasukan dan terus ke hadapan, seterusnya kembali bersaing dengan pasukan lain.

"Kita tidak boleh tewas lagi pada perlawanan seterusnya selepas ini, kegagalan mencatat kemenangan bermakna peluang menjulang kejuaraan menjadi semakin jauh," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Pasukan Selangor FC tewas tipis 2-3 pada perlawanan pertama bertemu Sabah FC di gelanggang sendiri, skuad berkenaan terus kecewa 4-8 pada pertemuan dengan Pahang Rangers FC di Stadium Tertutup SUKPA, Ahad lalu.

Eder Baldasso berkata, barisan pemain Selangor FC memberi jaminan kemenangan akan diraih pada pertemuan dengan pasukan jiran mereka KL City FC yang kini berada di tangga terbawah liga.

"Selepas melalui dua perlawanan Selangor FC kini berada di tangga ketujuh liga di bawah pasukan Gombak TOT United FC yang kini mengumpul tiga mata.

"Saya melihat kebangkitan pemain mula berlaku pada pertemuan dengan Pahang Rangers apabila tiga gol berjaya dihasilkan, pemain bangkit pada babak kedua memberi saingan pada tuan rumah," katanya yang berharap penyokong setia dapat membanjiri stadium memberi sokongan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 6:22 PM