Pemain Selangor FC pada sesi latihan menjelang pertemuanPahang Rangers FC di Stadium Tertutup SUKPA - Foto Mohd Rafi Mamat
Pemain Selangor FC pada sesi latihan menjelang pertemuanPahang Rangers FC di Stadium Tertutup SUKPA - Foto Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pasukan Selangor FC menghormati lawan Pahang Rangers yang akan dihadapi pada perlawanan kedua saingan Divisyen 1 Liga Futsal Perdana Kebangsaan Malaysia (MPFL) di Stadium Tertutup SUKPA, esok.

Perlawanan yang menarik pasti akan dipersembahkan kedua pasukan dalam usaha memburu kemenangan bermakna pertama buat kedua-dua pasukan.

Jurulatih Selangor FC, Edgar Baldasso berkata, selepas gagal meraih mata pada perlawanan pertama minggu lalu, usaha mencapai kemenangan perlu diperhebatkan walaupun berhadapan tentangan sengit.

Menurutnya, pada pertemuan dengan Pahang Rangers esok, corak permainan yang terbaik perlu dipamerkan pemain Selangor FC sekiranya mereka ingin pulang dengan tiga pertama musim ini.

Katanya, pemain tidak boleh terlalu menghormati tuan rumah yang juga juara bertahan, kerana faktor berkenaan akan menjejaskan semangat serta corak permainan yang diperlu dipamerkan.

"Pemain perlu mengekalkan rentak permainan yang mereka pamerkan sebelum ini, walaupun berhadapan lawan yang jauh berpengalaman tumpuan pada perlawanan perlu terus dikekalkan sepanjang permainan.

"Cabaran yang besar dihadapi pemain malam esok, bagaimanapun dengan semangat tinggi dan keyakinan menebal tidak mustahil keputusan boleh berpihak pada kita," katanya.

Pasukan Selangor FC pada perlawanan pertama di gelanggang sendiri minggu lalu tewas tipis 2-3 pada Sabah. Kini skuad merah kuning itu berada ditangga keenam liga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 6:32 PM