SALAH antara pemain terbaik dunia.
SALAH antara pemain terbaik dunia.
Agensi

London: Bintang sensasi Liverpool Mohamed Salah terus dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Anfield pada penghujung musim ini.

Pemain antarabangsa Mesir itu mempunyai kontrak dengan The Reds sehingga pertengahan musim panas 2025 dan dia mungkin meninggalkan Liverpool jika kedua-dua pihak gagal mendapatkan kontrak lanjutan.

Manakala kelab Arab Saudi dengan kekuatan kewangan menaruh minat mendalam untuk menandatangani Salah pada permulaan musim ini dan mereka dijangka sekali lagi kembali membuat tawaran jauh lebih lumayan pada musim panas.

Menurut laporan Fichajes, Al-Ittihad merancang kembali dengan bidaan sekitar €235 juta (RM1.2 bilion) untuk mendapatkan tandatangan Salah yang tidak diragui antara pemain terbaik dunia dan mendapatkannya antara kejayaan terbesar Liga Pro Saudi.

Mereka bersedia memecahkan rekod perpindahan dunia bernilai €222 juta (RM1.13 bilion) yang dibayar Paris St Germain untuk membeli Neymar pada 2017.

Liverpool dijangka tidak mampu menolak harga rekod dunia untuk pemain berusia 30-an itu tetapi menggantikan Salah juga cabaran besar buat mereka.

Bagaimanapun, penjualan Salah dengan harga mega dapat membantu mereka membina keseluruhan pasukan. Liverpool akan melantik pengurus baharu pada musim panas dan mereka boleh menggunakan dana untuk menandatangani pemain diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 7:29 PM