AKRAM belum mengumumkan lagi destinasinya. FOTO ASYRAF HAMZAH
AKRAM belum mengumumkan lagi destinasinya. FOTO ASYRAF HAMZAH
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain tengah, Akram Mahinan berada dalam radar pasukan Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Menurut sumber Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, bekas 'arkitek' pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) itu kini dalam proses rundingan terakhir dengan pihak pengurusan skuad Penyu.

Jelas sumber itu, kehadiran bekas pemain kebangsaan itu bagi memantapkan lagi jentera tengah skuad kendalian jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner itu.

"Iya betul, pihak kami berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tengah kelahiran Kedah itu bagi memperkasakan lagi pasukan pada musim ini.

"Dia dijangka bakal bergandingan dengan pemain import dari Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov selepas kontrak kapten musim lalu, Habib Haroon dan bekas pemain kebangsaan Filipina, Omid Nazari tidak disambung.

"Namun setakat ini kami dalam proses perbincangan akhir dengan pemain itu (Akram), jika semuanya berjalan lancar, Insya-Allah dia bakal menjadi milik pasukan TFC pada musim ini," kata sumber itu.

Terdahulu pemain tengah bertahan berusia 31 tahun itu mengumumkan perpisahan dengan skuad The City Boys selepas empat musim bersama pasukan itu.

Bagaimanapun bekas pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu belum mengumumkan lagi destinasinya walaupun spekulasi mengaitkannya dengan beberapa pasukan termasuk negeri kelahirannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 2:46 PM