SAFWAN berkata Steinbruckner mampu membentuk pertahanan yang mantap tanpa mengharapkan pemain import. FOTO ASWADI ALIAS
SAFWAN berkata Steinbruckner mampu membentuk pertahanan yang mantap tanpa mengharapkan pemain import. FOTO ASWADI ALIAS
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Terengganu FC membuktikan benteng yang ditunjangi empat pemain tempatan mampu menyekat Johor Darul Ta'zim (JDT) daripada berpesta gol di pentas final Piala Malaysia, malam tadi.

Pertahanan muda Terengganu FC Safwan Mazlan berkata, secara keseluruhan dia berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan skuad Penyu walaupun berputih mata selepas tewas kepada Harimau Selatan 1-3.

Katanya, JDT sememangnya mempunyai kelebihan membabitkan semua aspek namun Terengganu FC mampu memberikan tentangan sengit sehingga ke saat akhir perlawanan.

"Semua orang tahu JDT adalah satu pasukan yang kuat dengan banyak pemain mereka berpengalaman bermain di peringkat Asia jadi bagi kami tidak ada masalah untuk lawan mereka dan saya berpuas hati dengan aksi malam ini namun masih banyak lagi yang perlu diperbaiki.

"Diberikan kesempatan dan kepercayaan untuk bermain di final bagi saya semua itu untuk pengalaman kerana saya pernah juara Sukma dan Piala MFL kini saya akan lakukan yang terbaik untuk perlawanan seterusnya dalam Piala AFC untuk layak ke peringkat seterusnya," katanya.

Selain itu, Safwan berkata, pengendali Terengganu FC Tomislav Steinbruckner mampu membentuk pertahanan yang mantap tanpa mengharapkan pemain import.

"Jurulatih berani letak kami (pemain tempatan) untuk perlawanan malam ini. Bagi saya pula perlu yakin dan berikan terbaik terutamanya baki dua perlawanan akan datang.

"Walaupun saya masih muda lagi namun mempunyai harapan tinggi dan akan sentiasa memperbaiki kualiti permainan untuk perlawanan lain," katanya.

Mengikut rekod, Terengganu FC bakal berhadapan Bali United pada Rabu ini untuk aksi terakhir kumpulan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum melengkapkan aksi Liga Super bertemu Perak dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 1:57 PM