PEMAIN Santos kecewa selepas tamat perlawanan. FOTO Agensi
PEMAIN Santos kecewa selepas tamat perlawanan. FOTO Agensi
Agensi

Brasilia: Penyokong Santos merusuh apabila tidak dapat menerima hakikat kelab bola sepak kesayangan mereka terpaksa beraksi buat kali pertama di Divisyen Dua musim depan.

Sepanjang 111 tahun penubuhannya, Santos beraksi dalam liga utama Brazil dan muncul antara tiga kelab utama selain Sao Paulo dan Flamengo yang tidak pernah tersingkir. Namun segalanya berubah semalam.

Santos menduduki kelompok bawahan dalam carta liga susulan kemerosotan prestasi dan tidak menang lima perlawanan terakhir.

Jaringan minit ke-96 daripada Juan Martin Lucero memastikan kemenangan 2-1 Fortaleza yang mengesahkan Santos tersingkir ke Divisyen Dua.

Penyokong Santos yang berang dengan nasib pasukan mereka cuba memasuki padang ketika pemain berlari ke bilik persalinan dan di luar stadium, video menunjukkan kenderaan di bakar penyokong.

Santos antara kelab terkenal di Amerika Selatan apabila tiga kali menjuarai Copa Libertadores selain melahirkan beberapa pemain terhebat seperti Pele yang menghabiskan sepanjang kariernya bersama kelab itu.

Manakala sejak beberapa tahun lalu pemain seperti Neymar, Robinho dan bintang Real Madrid sekarang Rodrygo kesemuanya adalah produk akademi Santos.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 9:55 AM