Ivan Mamut (kiri) ikrar ledak gol pada aksi final malam esok. -FOTO Ghazali Kori.
Ivan Mamut (kiri) ikrar ledak gol pada aksi final malam esok. -FOTO Ghazali Kori.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang utama Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut menegaskan dia tidak gentar berdepan cabaran Johor Darul Ta[zim (JDT) biarpun lawan pasukannya di pentas akhir final Piala Malaysia malam esok berstatus pasukan gergasi Liga Malaysia (Liga M).

Jelas pemain kelahiran Croatia itu, tiada tekanan selain misi memahat sejarah kedua buat pasukannya merangkul trofi berprestij itu menguatkan lagi keazamannya untuk menyajikan persembahan terbaiknya.

Tambah penjaring terbanyak skuad Penyu itu, kejayaan pasukan negaranya mara ke pentas final Piala Dunia pada 2018 dan menduduki tempat ketiga Piala Dunia 2022 biarpun tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan menjadi pemangkin semangatnya.

"Pengalaman beraksi di kelab Romania sebelum ini selain hampir 'masak' dengan corak permainan pasukan dalam saingan Liga M biarpun baharu hampir setahun mampu memberi tonik berharga buat saya.

"Kejayaan skuad kebangsaan Croatia di dua pentas Piala Dunia yang dilihat pasukan kerdil tapi berjaya menempatkan dalam kelompok empat pasukan terbaik dunia ketika itu turut menambah lagi keyakinan saya berdepan JDT.

"Saya juga turut mengintai peluang penjaring terbanyak Piala Malaysia walaupun kini ketinggalan dua gol di belakang penyerang JDT," katanya.

Terkini penyerang tinggi lampai TFC itu sudah meledak lapan gol dalam kancah Piala Malaysia manakala rakan seposisinya dari JDT, Bergson Da Silva 10 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 12:47 PM