BARATHKUMAR harap rakan sepasukan bangkit benam PDRM pada aksi Liga Super, Sabtu ini. FOTO FB NSFC
BARATHKUMAR harap rakan sepasukan bangkit benam PDRM pada aksi Liga Super, Sabtu ini. FOTO FB NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) yang amat dahagakan kemenangan selepas agak lama tidak merasai nikmat itu dalam saingan Liga Super, berharap impian mereka dapat direalisasikan menentang PDRM FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu ini.

Justeru itu, perancang tengah NSFC, R Barathkumar bertekad untuk tampil dengan persembahan terbaik dan berharap rakan sepasukan sama-sama berjuang dengan komitmen lebih 100 peratus.

Menurutnya, mereka sedar mempunyai tugas penting dan mencabar dalam usaha mengembalikan semula reputasi skuad Hobin Jang Hobin yang kian tercalar.

"Kami sudah agak lama tidak menang perlawanan liga dan ini satu cabaran bagi kami untuk bekerja keras dalam mengembalikan semula serta mempertahankan reputasi pasukan.

"Kami perlu menggunakan peluang dan kelebihan beraksi di laman sendiri pada perlawanan menentang PDRM, Sabtu nanti, untuk mendapatkan mata kemenangan.

"Walaupun bukan mudah berdasarkan prestasi semasa PDRM, kami tiada pilihan kecuali menggandakan usaha untuk memungut tiga mata," katanya.

Tegas Barathkumar, dia mahu memastikan NSFC kembali ke landasan kemenangan selepas tewas 3-0 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi terakhir di tempat lawan, hujung bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 6:15 PM