NORIZAM akui TRW berdepan tunggakan gaji. -FOTO NSTP
NORIZAM akui TRW berdepan tunggakan gaji. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman mengesahkan bahawa pasukannya mengalami tunggakan gaji namun majoriti pemainnya hanya tidak menerima bayaran untuk tempoh sebulan saja.

Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamburger berkata, The Red Warrior (TRW) dalam usaha untuk menyelesaikan masalah itu termasuklah kes membabitkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Beliau juga mengakui terdapat beberapa pemainnya yang mengalami tunggakan gaji lebih daripada sebulan namun ia berlaku kerana terdapat isu tertentu membabitkan kedua-dua pihak.

"Kelantan FC sememangnya ada tunggakan gaji namun tidaklah sampai tiga atau empat bulan seperti yang dicanang oleh pihak tertentu.

"Majoriti tak dapat gaji untuk bulan sembilan saja manakala Julai dan Ogos kebanyakannya sudah dapat. Ada beberapa pemain tak dapat gaji kerana ada isu.

"Kes membabitkan Fifa tidaklah besar mana seperti saya ambil alih Kelantan FC sebelum ini. Jumlah berkenaan tidak sampai 20 peratus daripada denda oleh Fifa sebelum ini," katanya.

Mengikut rekod, musim ini menyaksikan Kelantan FC berdepan dengan terlalu banyak isu dalaman membabitkan masalah tunggakan gaji sehingga pemain sudah merujuk isu berkenaan kepada pihak peguam dan Persatuan Pemain Bolasepak Malaysia Profesional (PFAM) bagi mendapatkan pembelaan.

Kelantan FC bukanlah satu-satunya pasukan yang mengesahkan terdapat tunggakan gaji membabitkan pemain dan pegawai mereka.

Hal ini kerana, baru-baru pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar juga mengesahkan pasukan itu berdepan masalah aliran tunai yang menyebabkan gaji barisan pemain, jurulatih dan pegawai mereka tertunggak beberapa bulan

"Puncanya adalah missmatch iaitu pendapatan bulanan kurang daripada perbelanjaan tetapi ingin saya tegaskan, tiada penaja yang menarik diri.

"Cuma ada kalanya pembayaran dijanjikan itu terlewat dan dibuat sedikit demi sedikit namun, mereka beri komitmen untuk selesaikan penajaan seperti dijanjikan," kata Mohd Daud.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 9:54 PM