PEMAIN JDT cuba disekat pemain BG Pathum. FOTO Johor Southern Tigers
PEMAIN JDT cuba disekat pemain BG Pathum. FOTO Johor Southern Tigers
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) kembali berada pada landasan terbaik dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini apabila merakam kemengan pertama Kumpulan I dengan menjinakkan BG Pathum United 4-2, sebentar tadi.

Aksi kedua yang berlangsung di Stadium Leo, di Bangkok, Thailand itu menyaksikan skuad kendalian Esteban Solari berjaya bangkit selepas tumbang 1-0 pada aksi sulung di tangan wakil Jepun, Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ibrahim dua minggu lalu.

Namun kali ini, aksi lebih kemas diperagakan JDT yang dilihat lebih mengancam bak 'harimau lapar' yang sama sekali gagal dicabar tuan rumah sepanjang aksi itu.

Begitupun, BG Pathum terlebih dulu mendahului seawal minit kelima apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Shane Lowry menarik Danilo Alves di atas garisan kotak penalti JDT.

Pengadil perlawanan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohammed Abdulla Hassan tidak teragak menghukum kesilapan Lowry itu, sekali gus dimanfaatkan sebaiknya oleh Victor Cardozo yang mudah menewaskan Syihan Hazmi di pintu gol.

JDT yang baru dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut pada minggu lalu hanya memerlukan satu minit ataupun beberapa saat untuk kembali mengikat aksi menerusi ledakan Arif Aiman.

Gol penyamaan itu terhasil daripada hantaran jauh Jordi Amat yang tepat menemui Arif Aiman ketika pertahanan tuan rumah masih belum bersedia selepas meraikan gol pertama mereka sebelum itu.

Skuad Harimau Selatan terus 'mengaum' di minit ke-15 apabila lorongan cantik Heberty dari tengah padang berjaya disudahkan Bergson da Silva untuk menewaskan Chatchai Bootprom buat kali kedua untuk menambah kelebihan pelawat.

Malah, ia jaringan yang ke-104 daripada Bergson buat JDT sejak menyarung jersi kelab itu dari 2021 dalam 92 penampilan dalam semua kejohanan disertai.

Bersambung babak kedua, BG Pathum yang tumbang di tangan Ulsan Hyundai terus tertekan apabila pelawat meraih gol ketiga menerusi Juan Muniz yang menyambut tepisan kurang kemas Chatchai di minit 53 selepas menghalang rembatan Bergson.

Selang dua minit kemudian, kelalaian pertahanan JDT dihukum menerusi tandukan Cardozo yang mudah menyambut hantaran lintang Chanathip Songkrasin buat merapatkan desifit gol.

Bergson sepatutnya mampu menjarakkan kedudukan apabila memiliki dua peluang keemasan namun tolakan dan rembatannya, masing-masing di minit 61 dan 75 sekadar singgah di tiang gol buat melegakan kem tuan rumah yang dibimbing Jaturapattarapong Surachai.

Begitupun Arif Aiman lebih berbisa apabila menambah gol kedua peribadinya dan keempat buat JDT pada minit 79, sekali gus menghampakan skuad The Rabbits yang turut longlai dalam saingan Liga Thailand yang menghuni tangga kelima liga negara itu.

Hasil kemenangan itu, JDT kini mengumpul tiga mata dan selepas ini akan berkunjung ke Korea Selatan untuk berdepan Ulsan Hyundai pada 24 Oktober depan di Stadium Bolasepak Munsu di Ulsan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 10:12 PM