PEMAIN TFC II, Akanni Sunday Wasiu (kanan) diasak oleh pemain JDT II, Bruno Gabriel Soares (kiri) pada aksi Liga Perdana Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. -Foto ROZAINAH ZAKARIA
PEMAIN TFC II, Akanni Sunday Wasiu (kanan) diasak oleh pemain JDT II, Bruno Gabriel Soares (kiri) pada aksi Liga Perdana Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. -Foto ROZAINAH ZAKARIA
Faizul Azlan Razak


KUALA TERENGGANU: Terengganu FC II (TFC II)  menewaskan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 2-1 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Kemenangan itu cukup bermakna buat skuad bimbingan Mustaffa Kamal Abd Wahab selepas tewas 2-0 di tangan FELDA United Selasa lalu di gelanggang sama.

Tuan rumah bermula garang dengan melakukan percubaan awal ke gawang pelawat menerusi pemain importnya, Sebastian Maurice Thuriere tetapi tersasar.

Pada minit ke-10, JDT II mencemaskan gawang tuan rumah dengan percubaan Muhammad Hafiy Haikal Ismail, namun berjaya didakap kemas Mohd Suhaimi Husin.

Gawang JDT II akhirnya dibolosi hasil jaringan sendiri pertahanan kiri, Muhammad Fazly Mazlan yang tertampan bola hantaran lintang pemain sayap TFC II, Mohammad Rahmat Makasuf dan menewaskan penjaga gol, Muhammad Haziq Nadli pada minit ke-23.

Tiga minit berselang, pelawat hampir menyamakan kedudukan bagaimanapun bola percubaan Murilo Damasceno Neto sekadar singgah di palang gol.

Bersambung babak kedua, usaha skuad kendalian Benjamin Mora menyamakan kedudukan berhasil menerusi penyerang kebangsaan bawah 23 Tahun, Muhammad Hadifayyadh Abdul Razak yang menyambar bola percubaan pemain gantian, Syahrul Azwari Ibrahim pada minit ke-68.

Begitupun, hajat JDT II membawa pulang satu mata tidak kesampaian apabila tuan rumah berjaya menambah gol kedua hasil tandukan pemain pertahanan, Muhammad Radhi Mohd Yusof berpunca sepakan sepakan sudut dilakukan Muhammad Arif Fadzillah Abu Bakar (m-76).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 11:59 PM