GOL dijaringkan Diaz (kiri) dibatalkan selepas VAR mendapati dia berada pada posisi ofsaid ketika Liverpool tewas 1-2 kepada Spurs, Sabtu lalu. FOTO REUTERS
GOL dijaringkan Diaz (kiri) dibatalkan selepas VAR mendapati dia berada pada posisi ofsaid ketika Liverpool tewas 1-2 kepada Spurs, Sabtu lalu. FOTO REUTERS
Reuters

London: Liverpool berkata, kesilapan video bantuan pengadil (VAR) yang membatalkan jaringan Luis Diaz ketika tewas 1-2 di Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu lalu, menjejaskan integriti sukan.

Liverpool tewas selepas Joel Matip menjaringkan gol sendiri pada masa tambahan, tetapi mereka sepatutnya berada di depan pada babak pertama apabila jaringan Diaz dibatalkan kerana ofsaid.

VAR gagal menukar keputusan tidak tepat dan tidak membenarkan jaringan itu sehingga badan pengadil, PGMOL mengemukakan kenyataan mendakwa 'kesilapan ketara manusia' pada aksi EPL itu.

"Memang jelas peraturan perlawanan tidak dilaksanakan dengan betul sehingga menjejaskan integriti sukan," kata Liverpool dalam satu kenyataan, hari ini.

"Berlaku tidak puas hati apabila tidak diberikan masa mencukupi untuk membolehkan keputusan tepat diambil dan tiada campur tangan sewajarnya."

PGMOL berkata, kegagalan membenarkan jaringan Diaz itu 'jelas dan sudah tentu kesilapan fakta serta sepatutnya membuat keputusan gol itu dibenarkan dengan campur tangan VAR."

PGMOL berkata, pihaknya akan membuat penilaian sewajarnya semua perkara yang menyebabkan kesilapan berkenaan.

Liverpool berkata: "Kegagalan seperti itu yang dikategorikan sebagai kesilapan manusia yang nyata tidak boleh diterima.

"Sebarang hasil siasatan sepatutnya didedahkan dengan reviu dan telus.

"Ia penting untuk keyakinan bagi keputusan pada masa depan dan ia tertakluk kepada semua kelab dengan pengajaran untuk meningkatkan semuanya agar situasi seperti ini tidak berlaku lagi pada masa depan."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 8:12 AM