PEMAIN Jepun menenangkan sesama sendiri selepas tamat perlawanan menentang Sweden.
PEMAIN Jepun menenangkan sesama sendiri selepas tamat perlawanan menentang Sweden.
AFP

Auckland: Jurulatih Jepun Futoshi Ikeda berkata pasukannya boleh berbangga dengan prestasi mereka di Piala Dunia Wanita walaupun tersingkir di suku akhir selepas tewas 1-2 kepada Sweden hari ini.

Skuad Nadeshiko muncul antara pilihan ke final selepas menang semua tiga aksi peringkat kumpulan termasuk membelasah Sepanyol 4-0 sebelum menyingkirkan Norway di peringkat 16.

Kemenangan ke atas Sweden di Auckland bakal menemukan mereka semula dengan Sepanyol tetapi skuad Ikeda tidak bernasib baik di Eden Park apabila ketinggalan dua gol pada awal babak kedua sebelum cuba bangkit pada lewat perlawanan.

"Kami mara sejauh ini dan pemain semakin menampakkan kemajuan di Piala Dunia. Mereka menunjukkan apa boleh mereka lakukan di peringkat dunia," kata Ikeda.

"Kami tewas tetapi kami menilai semula dengan positif apa yang pemain lakukan. Saya bangga kami sampai di sini."

Jepun ketinggalan kali pertama di kejohanan itu apabila Amanda Ilestedt meletakkan Sweden selepas setengah jam perlawanan bermula.

Perlawanan tampak memihak Sweden selepas Filippa Angeldal menjaringkan gol kedua menerusi penalti minit ke-52 tetapi Jepun enggan mengalah dan kerap mengancam kubu lawan.

Mereka tidak bernasib baik apabila pemain gantian Riko Ueki gagal menyempurnakan penalti manakala sepakan percuma Aoba Fujino terkena palang.

Mereka berjaya mendapatkan gol ketika permainan berbaki 10 minit namun Sweden cekal bertahan untuk menghampakan Jepun dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 9:48 PM