MAGUIRE bakal tinggalkan Man United. FOTO USA TODAY
MAGUIRE bakal tinggalkan Man United. FOTO USA TODAY
Agensi

London: Ketika Harry Maguire bersedia untuk berhijrah dari Manchester United hanya empat tahun selepas rekod perpindahannya bernilai £80 juta (RM465.1 juta), Erik ten Hag sedang memikirkan beberapa pilihan untuk menggantikannya.

Bekas kapten United itu mengharungi prestasi buruk bersama Red Devils dan gagal menghidupkan semula kariernya di Old Trafford di bawah pengurus Belanda itu.

Pemain berusia 30 tahun itu gagal terpilih dalam kesebelasan utama hampir sebahagian besar kempen United musim lalu.

Dia juga dilucutkan jawatan kapten sebelum aksi pramusim dan United kini bersedia menerima tawaran untuk pemain antarabangsa England itu.

Man United sudah mencapai persetujuan dengan West Ham menerusi perjanjian £30 juta (RM174.4 juta) untuk mendapatkan Maguire.

Dengan pemergian Maguire, United tidak mempunyai pertahanan berpengalaman, sesuatu yang Ten Hag pastinya berminat untuk menyambar pemain bagi menggantikan Maguire pada jendela perpindahan.

Bekas bos Ajax itu mempertimbangkan untuk mendapatkan Edmond Tapsoba dari Bayer Leverkusen, Jean Clair Todibo dari Nice, Benjamin Pavard dari Bayern Munich dan Marc Guehi dari Crystal Palace, untuk menggantikan tempat Maguire.

Mail Sport difahamkan perjanjian setahun juga boleh ditawarkan kepada Jonny Evans, yang menandatangani kontrak jangka pendek dengan kelab itu.

Pemain berusia 35 tahun itu dikatakan berjaya menarik perhatian Ten Hag pada penampilan kali keduanya bersama United.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 8:08 AM