VAN Dijk dijangka menjadi ketua pasukan Liverpool selepas ketiadaan Henderson. FOTO AFP
VAN Dijk dijangka menjadi ketua pasukan Liverpool selepas ketiadaan Henderson. FOTO AFP
AFP

Singapura: Virgil van Dijk berkata dia yakin bahawa pemain Liverpool mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Jordan Henderson dan berkata ia adalah 'satu penghormatan' diberikan peranan sebagai kapten.

Pemain tengah England, Henderson berpindah ke Liga Pro Saudi minggu ini dan pertahanan Belanda, Van Dijk, yang pernah memakai lilitan ketua pasukan sebelum ini, secara meluas dijangka akan mengambil alih peranan itu.

"Jelas sekali kami akan merinduinya sebagai pemain dan pastinya sebagai pemimpin dan kapten, seseorang yang sangat penting bagi kami dan berjaya di kelab sejak beberapa tahun lalu," kata Van Dijk.

Henderson, James Milner dan Roberto Firmino semuanya meninggalkan pasukan musim panas ini, tetapi Van Dijk berkata pemain lain dalam skuad akan mengisi kekosongan itu apabila ia berkaitan dengan kepimpinan.

"Sudah pasti kami mempunyai ramai pemain yang boleh memikul dan perlu memikul tanggungjawab itu, jadi saya yakin itu akan berlaku," tambah Van Dijk, 32.

Walaupun dia tidak mahu bercakap terlalu banyak mengenai penggantian Henderson sebagai kapten, Van Dijk mengakui ia akan bermakna kepadanya jika dia diminta untuk memakai lilitan ketua pasukan secara tetap.

"Saya sudah ada keputusan tetapi saya perlu memberitahunya dahulu kepada pemain... sebelum saya bercakap secara terbuka mengenainya," kata jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp.

"Ia adalah keputusan penting tetapi lebih penting ialah setiap pemain mempunyai daya kepimpinan. Ia satu perubahan besar untuk kami."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 11:51 AM