SEGELINTIR penyokong JDT dilihat membakar suar di dalam stadium. -FOTO Flash Sukan
SEGELINTIR penyokong JDT dilihat membakar suar di dalam stadium. -FOTO Flash Sukan
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Hukuman pemotongan enam mata perlu dilaksanakan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke atas pasukan yang mengizinkan penyokong membakar suar di dalam stadium selepas perlawanan.

Cadangan itu dinyatakan pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa kepada pasukan yang memandang remeh tentang peraturan pertandingan, di mana pembakaran suar sememangnya dilarang.

Katanya, hukuman denda dengan membayar sejumlah wang dilihat tidak praktikal terutama buat kelab yang memiliki dana besar.

"Kalau dah bagi denda bayar duit pun tak nak ikut peraturan, saya lihat kaedah yang boleh digunakan adalah dengan pemotongan mata.

"Potong mata saya anggap wajar buat pasukan yang tidak menghormati peraturan pertandingan. Kalau pasukan lain takut untuk buat kesalahan, tetapi ada pasukan lain pula yang mudah langgar, jadi hukuman lebih berat kena diberikan.

"Mungkin potong enam mata sesuai disertakan sekali dengan larangan beraksi tanpa penyokong," katanya kepada Arena Metro.

Semalam akhbar ini melaporkan kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) tampaknya sengaja mencabar peraturan dan undang-undang saingan liga tempatan apabila sengaja membakar suar sebaik berakhirnya perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ibrahim, pada Sabtu lalu.

Biarpun baharu saja didenda oleh FAM ekoran kesalahan sama Khamis lalu, ia jelas tidak membuatkan kelab itu insaf namun sebaliknya lebih galak dengan mengulangi perkara sama.

Berdasarkan komen peminat bola sepak tempatan di laman sosial, mendapati ramai yang kecewa dengan sikap pengurusan pasukan itu.

Semakan peraturan pertandingan juga dengan jelas melarang penyokong membawa masuk barang terlarang ke dalam stadium seperti mana yang ada dalam Artikel 70.1 Kod Tataterbit FAM.

Suar atau mercun adalah antara barang yang dilarang di bawa ke stadium ketika perlawanan.

Walaupun tindakan membakar suar itu dikatakan sebagai tanda meraikan kemenangan pasukan, namun ia bukan lesen untuk pasukan melanggar peraturan.

Keselamatan penyokong yang hadir ke stadium terutamanya kanak-kanak dan warga emas perlu diberi perhatian serius meskipun mungkin pembakaran suar itu dilakukan sekumpulan penyokong tegar yang jauh daripada tempat duduk penyokong lain.

Namun asap tebal daripada suar itu mungkin boleh memberi kesan kesihatan buat kanak-kanak di stadium.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 12:48 PM