PEMAIN TFC, Argzim Redzovic mahu rantai pergerakan pemain JDT. -FOTO TFC
PEMAIN TFC, Argzim Redzovic mahu rantai pergerakan pemain JDT. -FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pertahanan Terengganu FC (TFC), Argzim Redzovic bersama rakan seposisinya sudah bersedia untuk 'merantai' pergerakan rangkaian penyerang berbahaya Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila kedua-dua pasukan bakal bertembung buat kali kedua dalam saingan Liga Super malam esok.

Jelas pemain kelahiran Montenegro berketinggian 1.90 meter itu, pengalaman beraksi hampir enam tahun dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) membuatkan dia sudah 'masak' untuk berdepan dengan pemain lawan.

Bagaimanapun pemain berusia 31 tahun yang mula beraksi dalam saingan Liga M pada 2018 dengan menyarung jersi PDRM FC sedar tugas berat bakal menantinya serta rakan sepasukannya walaupun beraksi di tempat sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Argzim yang sudah hampir lima musim beraksi bersama TFC dan Terengganu FC II (TFC II) dijangka bakal bergandingan dengan Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni di posisi pertahanan tengah selepas 'kereta kebal', Sardor Kulmatov masih mengalami kecederaan lutut.

"Kami sudah bersedia untuk berdepan tentangan sengit daripada pasukan JDT walaupun sedar atas kertas sudah pasti skuad Harimau Selatan itu lebih kuat terutama berjaya menyapu bersih dengan mengekalkan rekod tanpa tewas setakat ini.

"Tapi kami akan cuba yang terbaik dengan strategi yang bakal diterapkan oleh barisan kejurulatihan, saya rasa kami mampu untuk menyekat penguasaan lawan, lagipun saya sudah berada dalam Liga M hampir enam tahun selain pernah beraksi menentang skuad itu sejak tiga tahun lalu," katanya.

Skuad Penyu yang mahu membalas dendam kekalahan 0-2 pada aksi pusingan pertama yang juga Piala Sumbangsih dijangka bakal menurunkan Suhaimi Husin sebagai penjaga gol selain mempertaruhkan trio penyerangnya, Jordan Mintah, Adisak Kraisorn dan Ivan Mamut serta jeneral, Habib Haroon sebagai perancang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 2:14 PM