BENNACER meraikan jaringan bersama David  Calabria. FOTO Reuters
BENNACER meraikan jaringan bersama David Calabria. FOTO Reuters
Reuters

Milan: AC Milan berpeluang mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) kali pertama dalam tempoh 16 tahun selepas jaringan Ismael Bennacer membantu menewaskan Napoli 1-0 dalam aksi suku akhir pertama awal pagi tadi.

Dalam perlawanan di atas padang basah akibat hujan, pendahulu Serie A Napoli bertemu kali pertama di peringkat Eropah dengan juara tujuh kali, Milan di kejohanan berprestij itu.

"Saya lebih daripada gembira menikmati malam ini dengan penyokong kami," kata pengurus AC Milan Stefano Pioli kepada Sky Sport Italia selepas pasukannya kekal tanpa bolos lima perlawanan berturut-turut dalam saingan UCL kali pertama sejak musim 2004-05.

"Sejarah Milan berkaitan dengan banyak kemenangan di UCL, tetap sejak beberapa tahun lalu kami hanya mampu mengimpikannya, jadi kemenangan ini perlu kami raikan.

"Pertahanan kami agak longgar pada awal perlawanan yang memberikan Napoli peluang tetapi kami akhirnya mendapat kemenangan pertama di venue sendiri ke atas Napoli dalam tempoh tiga tahun."

Napoli yang berusaha membalas dendam kekalahan 0-4 di tempat sendiri kepada Milan dalam aksi Serie A bulan lalu mengasak kubu tuan rumah sejak awal perlawanan namun gagal memanfaatkan beberapa peluang diperolehi.

Walaupun Napoli mendominasi babak pertama, Milan mendahului lima minit sebelum rehat apabila hantaran Brahim Diaz disudahkan dengan cemerlang Bennacer yang meledak rembatan rendah ke penjuru gawang.

Situasi Napoli bertambah buruk ketika permainan berbaki 16 minit apabila pemain tengah Andre-Frank Zambo Anguissa dilayang kad kuning kerana mengasari Theo Hernandez.

"Memang sukar kehilangan pemain pada peringkat ini tetapi kami juga mempunyai pemain gantian berwibawa dan itu sebabnya kami berada di sini. Kami percaya kepada skuad.

"Kami kecewa apa berlaku kepada Anguissa tetapi tidak boleh berbuat apa-apa," kata jurulatih Napoli Luciano Spalletti kepada Sky Sport Italia.

Walaupun Napoli mempunyai beberapa peluang, mereka jelas tumpul tanpa penjaring terbanyak Serie A Victor Osimhen yang tidak dapat beraksi akibat kecederaan paha.

Milan satu-satunya pasukan menewaskan Napoli lebih daripada sekali dalam semua kejohanan musim ini menjelang aksi suku akhir kedua pada 18 April.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 8:14 AM