KVARATSKHELIA ibarat ‘Maradona’ baharu buat Napoli. FOTO AFP
KVARATSKHELIA ibarat ‘Maradona’ baharu buat Napoli. FOTO AFP
AFP

Milan: Khvicha Kvaratskhelia sentiasa dibandingkan dengan ikon kelab, Diego Maradona menerusi gol hebatnya yang memberikan semangat tambahan kepada Napoli menjelang pertembungan Liga Juara-Juara menentang Eintracht Frankfurt.

Pemain sayap Georgia itu menjadi aset 'hangat' Eropah selepas musim pertama yang menakjubkan di Naples, dengan diangkat sebagai pemain paling berbakat Napoli sejak Maradona beraksi di kelab selatan Itali itu pada 1980an.

Dia bersedia untuk mengetuai Napoli ke suku akhir kejohanan utama kelab Eropah itu buat pertama kali dalam sejarah mereka, dengan 13 gol dan hantaran menghasilkan jaringan menjadikannya bintang bersama Victor Osimhen dalam pasukan itu

Gol hebatnya memberikan kemenangan 2-0 kepada Napoli mengatasi Atalanta Ahad lalu adalah contoh bagaimana kawalan baik dan ketepatan pemain berusia 22 itu sekali lagi membuktikan betapa penting dirinya musim ini.

Selepas tewas di laman sendiri kepada Lazio minggu sebelumnya, ada kebimbangan ditunjukkan apabila skuad Luciano Spalletti tidak menjaringkan gol pada babak pertama namum 'Kvaradona' terus mempamerkan magisnya.

Selepas mengutip hantaran dari Osimhen dalam serangan balas pantas Napoli, Kvaratskhelia menyerang pertahanan Atalanta tanpa sebarang bantuan.

"Dia menjaringkan gol berharga seperti Maradona, kali ini anda memang boleh mengatakannya, lihat kepada kualiti kawalan dalam ruang yang sempit... bila dia berlari membawa bola, ia menakjubkan," kata Spalletti.

Kelab Itali yang di ambang kejuaraan liga itu akan menentang Eintracht dengan kelebihan 2-0 selepas aksi pertama di Jerman dan suasana positif menyelubungi pasukan itu.

Mereka kini mencipta jurang 18 mata di persada Serie A dan skuad Spalletti menyasarkan untuk pergi jauh di Eropah dan mereka ada peluang cerah untuk ke kelompok lapan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 11:52 AM