RAHADIAZLI tekad tebus kehampaaan dalam saingan Piala FA musim lalu. FOTO TFC
RAHADIAZLI tekad tebus kehampaaan dalam saingan Piala FA musim lalu. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Gagal melaksanakan tugas dengan lebih baik pada aksi final Piala FA musim lalu ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) masih lagi berbekas buat penjaga gol muda Terengganu FC (TFC), Muhammad Rahadiazli Rahalim.

Justeru penjaga gol berusia 22 tahun kelahiran Setiu itu berazam untuk menebus kembali kesilapan lalu apabila pasukannya sekali lagi bakal membuat perhitungan dengan JDT pada aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Johor, Jumaat ini.

Pemain meningkatkan naik kebangsaan itu menjelaskan, jika diturunkan dalam kesebelasan utama, dia sudah bersedia 200 peratus untuk berdepan dengan gergasi Liga Malaysia (Liga M) yang juga juara lima kali berturut-turut Piala Sumbangsih itu.

Malah pemain yang lebih mesra dipanggil 'Abey' berketinggian 1.92 meter itu turut melaungkan keyakinan rakan sepasukannya juga sudah bersedia selain jurulatih baharu, Tomislav Steinbrukner sudah menerapkan strategi dan formasi berbeza berbanding sebelum ini.

"Sejujurnya aksi final Piala FA musim lalu masih lagi segar dalam ingatan ketika kami tewas 1-3 kepada pasukan Harimau Selatan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Justeru pertemuan bagaikan aksi ulangan itu, jika saya diturunkan dalam kesebelasan utama sekali lagi, sudah pasti saya berazam untuk memperagakan aksi terbaik bagi menebus kembali kesilapan lalu.

"Walaupun beraksi di tempat lawan dengan reputasi pasukan itu sebagai gergasi Liga M, kami tidak sesekali gentar, lagipun dalam sukan bola sepak apa-apapun boleh terjadi, sejarah sudah membuktikan kami pernah menumpaskan skuad itu 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada 2021, situasi sama boleh berulang.

"Bagaimanapun saya pesan diri dan rakan sepasukan, agar tidak sesekali alpa walaupun sesaat kerana ia boleh mengundang padah, sebaliknya fokus sepanjang perlawanan bagi memastikan setiap gerakan pihak lawan dapat dipatahkan selain menuntut barisan penyerang dapat memanfaatkan peluang terhidang dengan jaringan," katanya yang bakal bersaing dengan tiga lagi penjaga gol termasuk Suhaimi Hussin untuk merebut posisi nombor satu pasukan.

Ketika ditanya keserasiannya bersama rakan sepasukan terutama di posisi pertahanan, pemain yang kini berguru dengan jurulatih penjaga gol kelahiran Croatia, Domagoj Malovan dan bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd Syamsuri Mustafa akui semakin serasi.

"Selepas hampir tiga bulan menjalani latihan bersama, kami semakin serasi, malah komunikasi antara pemain juga tiada masalah walaupun bek tengah kelahiran Uzbekistan, Sardor Qulmatov tidak fasih berbahasa Inggeris, tapi dia pemain berpengalaman dan semestinya memahami bahasa bola sepak," katanya yang mahu merangkul trofi pertama pada musim ini.

Berdasarkan rekod, Terengganu hanya sekali merangkul trofi Piala Sumbangsih pada 2001 ketika bawah kendalian Mat Zan Mat Aris selepas menumpaskan Perak 4-0 hasil jaringan Mohd Marzuki Yusuf, Faziallah Mamat, Rosdi Talib dan Sapian Wahid manakala penjaga gol ketika itu adalah Mohd Syamsuri yang masuk menggantikan Zuber Ibrahim yang cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 1:13 PM