BENFICA bawa bekalan selesa untuk perlawanan kedua Liga Juara-Juara. FOTO AFP
BENFICA bawa bekalan selesa untuk perlawanan kedua Liga Juara-Juara. FOTO AFP
AFP

Bruges, Belgium: Benfica menghampiri suku akhir Liga Juara-Juara musim ini selepas menang 2-0 ke atas Club Brugge di Belgium pada perlawanan pertama pusingan 16 terbaik awal pagi tadi.

Kedua-dua gol terhasil pada separuh masa kedua di Jan Breydelstadion dengan Joao Mario membuka jaringan dari sepakan penalti enam minit selepas perlawanan dimulakan semula dan pemain gantian David Neres meletakkan mereka di kedudukan terbaik apabila menambah menambah satu lagi gol lewat perlawanan.

Pendahulu liga Portugal yang tewas kepada Liverpool pada pusingan lapan terakhir musim lalu dijangka tidak berdepan masalah apabila kedua-dua pasukan bertemu di Lisbon untuk perlawanan kedua pada 7 Mac.

"Apabila anda bermain perlawanan pertama di tempat lawan dalam perlawanan Liga Juara-Juara dan menang ia sentiasa menjadi langkah pertama yang baik. Kami sudah separuh jalan," kata jurulatih Benfica, Roger Schmidt.

Pasukan Schmidt hanya tewas sekali dalam saingan liga domestik pada kempen kali ini dan mengungguli kumpulan Liga Juara-Juara mengatasi Paris Saint-Germain dan Juventus.

Mereka nampaknya seperti tidak terjejas biarpun kehilangan pemain bintang yang juga juara Piala Dunia dari Argentina, Enzo Fernandez selepas dijual kepada Chelsea dengan harga €121 juta euro (RM569.14) bulan lalu.

Benfica terlalu kuat untuk pasukan Club Brugge yang hanya menang sekali dalam lapan perlawanan sejak bekas pemain tengah England, Scott Parker dilantik sebagai jurulatih mereka pada akhir Disember lalu.

"Sememangnya kekalahan 2-0 bukanlah sesuatu yang anda boleh gembira, tetapi saya melihat banyak perkara positif dalam permainan ini," kata Parker.

"Saya amat berbangga dengan pasukan. Selepas lima minggu melatih mereka, akhirnya saya dapat melihat apa yang saya cari. Tetapi kesilapan kecil membuatkan kami tewas kehilangan pada perlawanan ini malam ini."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 8:28 AM