POTTER akui sukar membuat keputusan senarai pemain Liga Juara-Juara. FOTO Reuters
POTTER akui sukar membuat keputusan senarai pemain Liga Juara-Juara. FOTO Reuters
Reuters

London: Pengurus Chelsea, Graham Potter berkata ia adalah 'keputusan sukar' untuk meninggalkan Pierre-Emerick Aubameyang daripada skuad Liga Juara-Juara bagi peringkat kalah mati tetapi berkata penyerang Gabon itu masih mempunyai peranan untuk dimainkan di kelab London itu.

Aubameyang tidak berada dalam senarai 25 pemain begitu juga dengan pembelian terbaru, Benoit Badiashile, namun pemegang rekod perpindahan termahal Britain, Enzo Fernandez disenaraikan.

Mykhailo Mudryk yang berpindah dari Shakhtar Donetsk, dan pemain pinjaman, Joao Felix turut berada dalam senarai.

"Pierre seorang profesional dan saya faham dia akan kecewa. Ia adalah keputusan yang sukar," kata Potter.

"Kami memasukkan tiga pemain dan dua terpaksa dikeluarkan. Dialah yang terkeluar. Dia tidak melakukan kesalahan sama sekali."

Aubameyang gagal menarik perhatian sejak menyertai kelab itu dari Barcelona pada September, menjaringkan hanya satu gol liga dalam 11 penampilan.

Aksi liga terakhirnya adalah pada November dan dia digantikan dalam kekalahan 0-1 kepada Manchester City pada awal Januari selepas diturunkan dari bangku simpanan.

"Pierre hanya tidak bernasib baik dan dia akan berjuang untuk tempatnya sepanjang musim ini. Dia mengendalikannya dengan baik," kata Potter.

"Dia seorang pemain yang terbaik dan terbaik untuk kami."

Chelsea, akan menentang Borussia Dortmund dalam perlawanan pusingan pertama peringkat 16 terakhir pada 15 Februari, dan hanya dibenarkan mendaftarkan maksimum tiga pemain baharu untuk peringkat kalah mati.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 1:18 PM