KEAT See menangkap kemas bola walaupun cuba diasak pemain PDRM. FOTO FB PERAK FC
KEAT See menangkap kemas bola walaupun cuba diasak pemain PDRM. FOTO FB PERAK FC
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Pasukan Perak FC terpaksa menunggu perlawanan seterusnya untuk meraih kemenangan pertama apabila seri 0-0 menentang PDRM pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Tampil dengan lebih 50 peratus pemain berusia bawah 23 tahun, Perak FC di bawah kendalian Datuk Lim Teong Kim gagal memanfaatkan puluhan peluang terhidang di depan gol, sekali gus terpaksa berpuas hati membawa pulang satu mata.

Skuad Bos Gaurus terlebih dahulu memberi amaran kepada pasukan tuan rumah melalui serangan berbahaya pada minit ke-10 namun sepakan pemain import mereka, Seo Seonung dari luar kotak penalti melepasi palang.

Walaupun, rata-rata pemain Perak kurang berpengalaman, mereka lebih menguasai perlawanan dan bijak mengatur serangan berbahaya ke kubu lawan bagi mencari gol pembukaan.

Malah, peluang Hadi Fayyadh Abdul Razak untuk mencetak gol pertama pada musim ini turut tidak kesampaian apabila gagal menyudahkan hantaran rakan sepasukan pada minit ke-22, sekali gus Perak terus kempunan memburu gol sehingga perlawanan separuh masa pertama tamat.

Memasuki babak kedua, Teong Kim cuba memperkemaskan jentera serangan dengan memasukkan awang import mereka iaitu Christian Obiozor, namun kebuntuan jaringan berterusan.

PDRM di bawah kendalian Azzmi Aziz pula hanya memiliki satu peluang keemasan menerusi Bruno Suzuki, namun sepakan lambungnya sedikit tersasar walaupun sudah menewaskan penjaga gol Perak, Tian Keat See pada minit ke-59.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 11:10 PM