JORGINHO mahu kekal di Chelsea. FOTO Reuters
JORGINHO mahu kekal di Chelsea. FOTO Reuters
Reuters

London: Pemain tengah Chelsea, Jorginho mahu kekal di kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tetapi berkata dia masih belum memikirkan mengenai masa depannya walaupun diberitahu boleh berbincang dengan kelab luar bermula Januari ini berikutan kontraknya akan tamat pada penghujung musim.

Pemain berusia 31 tahun dari Itali itu bermain dalam kempen kelimanya dengan kelab barat London itu sejak tiba pada 2018 dan meledak 29 gol serta sembilan bantuan gol dalam 207 perlawanan.

"Sudah tentu saya mahu (kekal), saya sayangkan Chelsea. Tapi perkara ini tidak mahu saya fikirkan ketika ini. Saya perlu fikirkan bagaimana untuk menang perlawanan. Jika tidak ia mendatangkan masalah.

"Saya akan fokus perlawanan demi perlawanan dan selepas itu kita akan lihat ... Minda saya masih bersama Chelsea dan akan cuba menang sebanyak mungkin perlawanan," kata Jorginho kepada talkSPORT semalam.

Jorginho menambah bahawa dia sangat gembira di bawah kendalian jurulatih baharu, Graham Potter, yang mengambil alih Chelsea pada September.

"Saya rasa dia melakukan tugas yang sangat bagus dan kini tiba masanya untuk keputusan memihak kepada kami.

"Saya sangat suka (bekerja dengannya). Dia dan stafnya, mereka sangat baik dan mereka bekerja keras, mereka mahu menang perlawanan ... Saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk membantu mereka melakukannya," kata Jorginho.

Chelsea akan cuba menamatkan lima perlawanan tanpa menang dalam liga apabila menyambung aksi selepas rehat Piala Dunia di laman sendiri menentang Bournemouth pada Selasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 12:28 PM