JOSUE (kanan) berebut bola dengan pemain PDRM. FOTO FB KUALA LUMPUR CITY FC
JOSUE (kanan) berebut bola dengan pemain PDRM. FOTO FB KUALA LUMPUR CITY FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketua pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Paulo Josue tidak menduga tersenarai dalam kalangan tiga terbaik kategori Pemain Import Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22).

Malah, dia berbangga kerana tersenarai bersama-sama dua tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva dan Fernando Forestieri.

Selepas tidak tersenarai pada musim lalu, Josue menganggap ini sebagai satu penghormatan besar sambil mengucapkan terima kasih kepada pihak yang mencalonkan dirinya.

"Saya sangat gembira dengan pencalonan ini, apatah lagi bersama dua pemain yang sangat hebat iaitu Bergson dan Forestieri.

"Sesiapa yang memahami bola sepak, sudah tahu betapa bagusnya mereka berdua dan rasa satu kejayaan apabila turut bersaing bersama mereka.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan yang sentiasa beri sokongan sama ada di dalam atau luar padang.

"Tidak dilupakan kepada semua ketua pasukan dan jurulatih yang mencalonkan saya kerana ini sesuatu yang besar maknanya apabila kemampuan kita diiktiraf pasukan lawan," katanya.

Prestasi Josue musim ini berada di tahap terbaik apabila meledak lapan gol dan 10 bantuan gol secara keseluruhan dari 27 perlawanan Liga Malaysia yang diturunkan bersama KL City.

Namun, dia dijangka akan menerima saingan sukar daripada Bergson yang berada di kemuncak prestasi apabila meledak 40 gol dan tujuh bantuan jaringan (bermain dalam 30 perlawanan) sementara Forestieri, menjaringkan 24 gol dan 9 bantuan jaringan (bermain dalam 31 perlawanan).

Pada masa sama, Josue tidak meletak harapan untuk menang sambil menyifatkan sesiapa sahaja yang tercalon layak untuk memenangi gelaran Pemain Import Terbaik 2022.

"Sama-samalah kita nantikan, tetapi apa jua keputusan, saya mampu menerima dengan hati terbuka kerana dua calon ternyata pemain sangat luar biasa.

"Sekiranya saya yang menang, sudah tentu saya tidak boleh gambarkan bagaimana gembiranya nanti tetapi jika bukan rezeki saya, anugerah ini akan dimenangi oleh pemain yang layak," katanya.

ABK22 akan berlangsung secara virtual pada 9 malam Khamis, 15 Disember 2022 dan sebanyak 16 kategori dipertandingkan.

Anugerah dipertandingkan ialah Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Pemain Import Terbaik dan Pemain Paling Bernilai (MVP).

Selain itu, kategori Penjaring Terbanyak Liga Super, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super, Penjaring Terbanyak Liga Premier, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier, Anugerah Fair Play, Fan XI, Gol Terbaik Liga Malaysia 2022 dan Pasukan Terbaik turut diiktiraf.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 5:49 PM