AKSI Pemain JDT, Ariff Aiman Mohd Hanapi pada perlawanan Piala Malaysia Petaling Jaya City FC (PJ City FC) bertemu  Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi. FOTO Aswadi Alias
AKSI Pemain JDT, Ariff Aiman Mohd Hanapi pada perlawanan Piala Malaysia Petaling Jaya City FC (PJ City FC) bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi. FOTO Aswadi Alias
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketiadaan penyerang berbisa Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva langsung tidak mengganggu rentak pasukan apabila membelasah Petaling Jaya City FC (PJ City) 4-0 dalam aksi pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Jelas pengendali JDT, Hector Bidoglio, kejayaan anak buahnya membawa bekalan selesa ke Johor Bharu itu adalah disebabkan falsafah skuad Harimau Selatan yang tidak bergantung kepada seseorang individu sahaja.

Tetapi pasukan itu sebenarnya bergerak secara kolektif dan bermain dengan mentaliti untuk memenangi setiap perlawanan.

"Di JDT, kami tidak bergantung kepada satu atau dua individu dan kami bermain secara kolektif dengan kesemua pemain berusaha untuk mencipta peluang dan menjaringkan gol.

"Disebabkan itu ketiadaan Bergson tidak menggangu permainan kami," katanya pada sidang media selepas perlawanan peringkat 16 terbaik itu.

Dalam aksi itu, JDT meraih gol menerusi Shahrul Saad di minit keempat disusuli Safawi Rasid (m-39), Akhyar Rashid (m-70) dan Fernando Forestieri (m-79).

Kemenangan besar itu membolehkan juara Liga Super dan Piala FA musim ini itu hanya memerlukan keputusan seri dalam aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim Isnin ini untuk mara ke suku akhir.

"Ianya bukanlah satu perlawanan yang mudah dan saya memberikan peluang buat para pemain untuk beraksi kerana kesemua mereka menunjukkan kesungguhan ketika latihan dan mereka berhak untuk diturunkan pada perlawanan ini.

"Kami bermain dengan mentaliti yang baik dan berjaya menjaringkan gol awal. Selepas itu kami mampu mengawal permainan dan bermain dengan lebih sabar serta kami kelihatan lebih baik selepas menjaringkan gol pertama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 4:44 PM