LEE Tuck dan Aguero perkasa cabaran Pahang.
LEE Tuck dan Aguero perkasa cabaran Pahang.
Asrol Awang


Kuantan: Pemain Sri Pahang FC, Lee Tuck tidak sabar berdepan bekas pasukan, Terengganu FC (TFC) apabila kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan pertama Piala Malaysia pada 27 Oktober ini. 

Pemain tengah skuad Tok Gajah itu berkata, selepas sekian lama menunggu untuk beraksi, dia tidak menjangkakan akan bertemu bekas pasukannya itu  pada pusingan awal piala berprestij itu. 

"Selepas menunggu lama untuk bermain dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), perlawanan pertama bertemu pasukan lama saya, Terengganu.  "Namun, saya menantikan perlawanan itu untuk memastikan Sri Pahang mampu mencatat kemenangan" katanya. 

Ditanya persediaan selepas dibenarkan beraksi dalam saingan Piala Malaysia, Tuck lebih kepada mempertingkatkan tahap kecergasan selain corak permainan. 

Dia yang sudah menunggu terlalu lama untuk beraksi dan sekiranya diberikan peluang oleh ketua jurulatih, Datuk Dollah Salleh, tekad memberikan komitmen 100 peratus. 

"Setiap minit saya akan bermain dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan Sri Pahang mencatat kemenangan," katanya. 

Dalam pada itu, Tuck berkata, biarpun Sri Pahang bukan pasukan pilihan untuk memenangi Piala Malaysia apabila menamatkan kedudukan ketujuh, tiada yang mustahil untuk melakukannya. 

"Saya percaya kami boleh pergi lebih jauh kerana mempunyai pasukan yang bagus dengan semangat berpasukan seperti yang dipersembahkan pada beberapa perlawanan terakhir Liga Super. 

"Jika kami terus membentuk pasukan yang mantap, Sri Pahang mampu menewaskan Terengganu," katanya.  

Dalam satu kenyataan pada 7 September lalu, MFL memaklumkan rayuan Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) untuk mendaftarkan pemain naturalisasi, Tuck dan Sergio Aguero sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga M 2022 diluluskan. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 3:37 PM