PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp (kanan) bersalaman dengan Mohamed Salah selepas tewas 1-2 kepada Manchester United di Old Trafford. FOTO EPA
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp (kanan) bersalaman dengan Mohamed Salah selepas tewas 1-2 kepada Manchester United di Old Trafford. FOTO EPA
AFP

Manchester: Tiga bulan lalu, Liverpool berada di ambang untuk mencipta sejarah merangkul empat trofi. Namun selepas tiga perlawanan musim baharu, mereka belum menang.

Kekalahan 1-2 di Old Trafford, hari ini, menyaksikan anak buah Jurgen Klopp di kelompok bawahan carta Liga Perdana Inggeris (EPL) dan dipintas Manchester United yang sebelum ini menduduki tangga tercorot liga serta menjadi bahan jenaka selepas dibelasah 0-4 di Brentford.

Permulaan terburuk Liverpool dalam sedekad itu menyaksikan mereka ketinggalan lima mata di belakang juara bertahan, Manchester City serta pendahulu ketika ini, Arsenal dengan tujuh mata.

"Ia bukan perkara terbaik yang boleh dilihat, memang jelas," kata Klopp selepas pasukannya menduduki tangga ke-16 selepas tiga perlawanan liga.

Lebih merisaukan pengendali dari Jerman itu ialah, tiada jalan penyelesaian pantas untuk mengatasi isu yang menyebabkan permulaan hambar mereka kali ini.

Krisis kecederaan awal musim menyebabkan Thiago Alcantara, Naby Keita, Ibrahima Konate, Joel Matip dan Diogo Jota tidak dapat diturunkan dalam kunjungan ke Old Trafford.

Penyerang baharu, Darwin Nunez turut tidak dapat beraksi selepas dikenakan penggantungan tiga perlawanan susulan kad merah diterimanya selepas mengasari pertahanan Crystal Palace, Joachim Andersen, minggu lalu.

Tanpa Thiago dan Keita, pemain 36 tahun James Milner dan Harvey Elliott, 19, mengemudi barisan tengah bersama kapten, Jordan Henderson.

Sebelum perlawanan, Klopp mengakui lebih baik sekiranya memiliki pilihan pemain tengah.

Bukan perkara itu saja yang menjadi kerisauan Klopp kerana posisi pertahanan kanan, Trent Alexander-Arnold turut menjadi sasaran serangan pemain lawan.

Selepas kekalahan di final Liga Juara-Juara Eropah di tangan Real Madrid, Mei lalu dan permulaan cemerlang Fulham untuk seri 2-2 dengan Liverpool hujung minggu lalu, bahagian sebelah kanan itu turut menjadi punca kepada gol pertama United.

Prestasi Virgil van Dijk pula jauh daripada reputasinya sebagai bek tengah terbaik dunia dan kedudukannya membolehkan Jadon Sancho membuka gol pertama tuan rumah.

"Kami memberikan gol pembukaan kepada setiap lawan, kami tidak boleh berterusan menjadikan kedudukan sukar buat diri sendiri," kata pemain pertahanan, Andy Robertson.

"Ketika sesi memanaskan badan, stadium begitu sunyi dan mereka memerlukan sesuatu untuk menaikkan semangat dan kami memberikannya.

"Dua mata daripada sembilan yang sepatutnya, bukan permulaan kami mahukan. Kami perlu meningkatkan persembahan individu dan berpasukan.

"Memang mudah untuk memperkatakannya di dalam bilik persalinan. Kami perlu keluar dan melakukannya. Kami tidak boleh terus dibolosi. Mereka bermula lebih baik. Ia perlu berubah."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 9:49 AM