CRISTIANO Ronaldo. FOTO Reuters
CRISTIANO Ronaldo. FOTO Reuters
Agensi

London: Erik ten Hag dilaporkan sudah berubah hati berhubung masa depan Cristiano Ronaldo di Manchester United dan kini bersedia membiarkan penyerang itu meninggalkan kelab.

Masa depan pemain berusia 37 tahun itu di Old Trafford semakin hangat sejak dia menyatakan hasratnya untuk meninggalkan kelab awal musim panas lalu berikutan kegagalan mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara.

Ten Hag yang menjadi pengurus pertama United dalam tempoh 101 tahun mengalami kekalahan dalam dua perlawanan pertamanya, sebelum ini tetap bertegas bahawa Ronaldo berada dalam perancangannya.

Tetapi The Athletic melaporkan pengendali berusia 52 tahun itu kini sudah berubah fikiran dan terbuka untuk membiarkan Ronaldo meninggalkan kelab.

Ia berikutan kesukaran Ten Hag mengawal pemain itu yang terlepas sebahagian besar aksi pramusim berikutan urusan keluarga.

Laporan itu mendakwa sejak kembali ke kelab, Ronaldo dikatakan bersendirian semasa makan tengah hari di kantin di tempat latihan mereka dekat Carrington.

Laporan sama juga menyatakan Ronaldo sering membantah arahan Ten Hag semasa sesi latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 11:03 PM