ANTARA aksi Selangor menentang Pahang. FOTO Selangor FC
ANTARA aksi Selangor menentang Pahang. FOTO Selangor FC
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Selangor FC bangkit daripada kekalahan minggu lalu apabila menewaskan Sri Pahang FC 3-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, malam tadi.

Ia adalah kemenangan kedua musim ini selepas lima aksi liga, dengan minggu lalu skuad kendalian Michael Feichtenbeiner itu dimalukan Terengganu FC selepas tumbang 0-2 di tempat lawan.

Setidak tidaknya kejayaan memungut tiga mata penuh itu melegakan sedikit penyokong skuad Merah Kuning yang agak berang dengan aksi tidak konsisten bekas juara 33 kali Piala Malaysia itu.

Menyedari hanya kemenangan mampu melonjakkan kedudukan Selangor dalam carta liga, tuan rumah nyata menguasai aksi sejak awal dan percubaan Syahir Bashah di minit ke-12 hampir meletakkan skuad Red Giants di depan namun tiang menjadi penghalang.

Dua siri serangan menerusi Herlison Caion dan Fazly Mazlan masing-masing di minit ke-18 dan 35 turut gagal menemui sasaran meskipun penjaga gol pelawat, Mamadou Samassa sudah pun tertewas.

Gawang skuad Tok Gajah akhirnya bocor jua apabila hantaran lintang Quentin Cheng tepat ke kepala Caion di minit ke-37, yang juga gol keenamnya musim ini.

Bersambung babak kedua, Selangor hanya memerlukan tujuh minit untuk mengukuhkan kedudukan menerusi sentuhan penyerang import dari Brazil, Hyuri Henrique yang bijak melepasi perangkap offside dari tengah padang.

Pelawat yang mencatat kemenangan pertama musim ini dengan 3-1 ke atas Penang FC sebelum ini berjaya mengurangkan defisit hasil jaringan Nor Azam Azih di minit 61.

Kebangkitan yang diharapkan dari skuad bimbingan Christophe Gamel tidak menjadi kenyataan apabila tuan rumah menambah gol ketiga di minit 75 selepas memanfaatkan sebaiknya sepakan sudut apabila Yazan Mousa menanduk tepat untuk menewaskan Samassa buat kali ketiga.

Tiada tambahan jaringan selepas itu dengan Selangor melonjak ke tangga kelima liga, manakala Sri Pahang kekal di posisi sembilan daripada 12 pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 3:12 AM