TAESU Park meraikan gol pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. FOTO Azrul Edham
TAESU Park meraikan gol pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. FOTO Azrul Edham
Mohd Amin Jalil


Seremban: Strategi bertahan yang cukup baik diperagakan pemain Sabah FC ternyata berkesan dan berjaya menyukarkan jentera serangan Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk membolosi gawang Sabah, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Itu pandangan ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee yang menyifatkan faktor berkenaan menjadi penyumbang utama kepada kejayaan skuad bimbingannya mengutip mata kemenangan ke atas skuad Hobin Jang Hobin.

"Biarpun persembahan pemain Sabah terutama pada separuh masa pertama tidak begitu baik sehingga memberi ruang kepada Negeri Sembilan melakukan asakan ke dalam kawasan gol, namun gawang pasukan masih mampu bertahan dengan baik.

"Strategi bertahan yang kita pamerkan ternyata berjaya menafikan beberapa percubaan merbahaya daripada jentera serangan Negeri Sembilan.

"Keberkesanan strategi itu memberikan keyakinan kepada diri pemain yang akhir berjaya mempertahankan gawang pasukan sehingga ke penghujung saingan," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Pemain tengah skuad Sang Badak, Tae-su Park, muncul wira pasukan itu apabila meledak gol tunggal dan juga gol kemenangan Sabah pada minit ke-61 perlawanan.

Mengulas lanjut, Kim Swee berkata, dari awal lagi pihaknya mengakui bahawa berhadapan dengan skuad bimbingan K Devan itu bukan mudah, apabila jelas pemainnya terpaksa bekerja keras sepanjang tempoh 90 minit perlawanan untuk menyekat setiap pergerakan dan pihak lawan, apa lagi beraksi di tempat lawan.

Namun, beliau memuji komitmen tinggi yang diberikan semua pemain pasukan itu sepertimana strategi yang disusunnya, dalam memastikan gawang Sabah dapat dipertahankan.

"Boleh dianggap suatu pencapaian yang baik apabila kita berjaya meraih empat mata daripada dua perlawanan di tempat lawan.

"Sabah perlu memastikan konsistensi dalam perlawanan dan kita tidak boleh sekejap menang, sekejap kalah atau seri kerana ia penting jika mahu mencabar kedudukan pendahulu carta liga, Johor Darul Ta`zim (JDT).

"Apapun dalam setiap perlawanan akan ada kelemahan dan kita akan terus berusaha memperbaikinya kerana pasukan akan menghadapi cabaran lebih besar selepas ini dalam pusingan kedua liga," katanya yang enggan mendabik dada dengan pencapaian Sabah menduduki tangga kedua carta Liga Super ketika ini, selepas menang malam tadi.

Selepas menamatkan 10 perlawanan, Sabah mengumpul 22 mata hasil pencapaian tujuh kemenangan, satu seri dan dua tewas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 11:23 AM