PEMAIN Roma Roger Ibanez jelas kecewa selepas pasukannya tumpas kepada Bodo/Glimt. FOTO Reuters
PEMAIN Roma Roger Ibanez jelas kecewa selepas pasukannya tumpas kepada Bodo/Glimt. FOTO Reuters
AFP

Paris: Kelab Norway, Bodo/Glimt mencatat kemenangan 2-1 ke atas AS Roma dalam aksi pertama suku akhir Liga Konferensi, manakala Leicester diikat seri tanpa jaringan ketika berdepan PSV Eindhoven.

Bodo/Glimt, yang mencatatkan kemenangan menakjubkan 6-1 ke atas pasukan sama di peringkat kumpulan, berjaya bangkit dari ketinggalan untuk menumbangkan gergasi Itali itu.

Lorenzo Pellegrini meletakkan Roma di depan sebelum rehat tatkala pasukan pelawat itu cuba untuk meneruskan rekod kemenangan sembilan kali berturut-turut tanpa kalah dalam semua kejohanan.

Bagaimanapun, Ulrik Saltnes berjaya menyumbangkan gol penyamaan buat pasukan tuan rumah sebelum aksi berlangsung selama sejam.

Percubaan Pellegrini dibatalkan kerana ofsaid ketika aksi berbaki 15 minit dan Roma dikejutkan dengan satu lagi jaringan pasukan lawan pada minit ke-89.

Hugo Vetlesen berjaya menyambut sepakan percuma dan menyudahkan gol kemenangan dramatik mengatasi penjaga gol, Rui Patricio.

Leicester adalah pasukan yang lebih baik untuk tempoh yang lama menentang PSV tetapi kini akan menghadapi ujian sukar minggu depan dalam perlawanan kedua di Belanda.

Tanpa penyerang yang cedera, Jamie Vardy, anak buah Brendan Rodgers hanya mampu melakukan dua percubaan tepat ke sasaran di Stadium King Power.

The Foxes berharap untuk mara ke separuh akhir saingan Eropah buat kali pertama dalam sejarah mereka, selepas turut mara ke peringkat lapan terakhir Liga Juara-Juara 2016/17.

"Tidak terlalu banyak peluang dalam permainan. Mungkin jika lebih berkualiti berdekatan petak penalti lawan akan memudahkan kami. Kami hanya kekurangan sedikit kualiti di sana," kata Rodgers

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 8:53 AM