FABINHO (kanan) berjaya menyumbang gol kedua Liverpool pada hujung perlawanan. FOTO EPA
FABINHO (kanan) berjaya menyumbang gol kedua Liverpool pada hujung perlawanan. FOTO EPA
AFP

Liverpool: Liverpool melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama tahun ini selepas tandukan Diogo Jota dan penalti hujung perlawanan, Fabinho membolehkan mereka menumpaskan Watford 2-0.

Jota meletakkan skuad kendalian Jurgen Klopp di depan pada minit ke-22 selepas menyudahkan umpanan pemain pertahanan, Joe Gomez.

Fabinho mengesahkan kemenangan 2-0 buat The Reds apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-89.

Kejayaan itu menyaksikan Liverpool mengumpul 72 mata hasil daripada 22 kemenangan, enam seri dan dua kali tewas dalam 30 perlawanan musim ini.

Manchester City yang dibimbing Pep Guardiola pula ketinggalan dua mata, namun mereka masih kekurangan satu perlawanan.

Skuad The Citizens boleh kembali memintas The Reds sekiranya berjaya mengatasi Burnley dalam aksi yang akan berlangsung malam ini.

Pasukan tangga ketiga, Chelsea pula berada jauh di belakang apabila hanya mengumpul 59 mata selepas 28 perlawanan, sementara Arsenal di kedudukan keempat dengan 54 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 10:20 PM